Dimensi Bisnes

Standard Chartered, CGC Tawar Pembiayaan RM100 Juta Bantu PKS

Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menandatangani perjanjian untuk menawarkan pembiayaan sebanyak RM100 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergelut dengan cabaran mudah tunai selepas COVID-19.

Perjanjian itu menjadikan Standard Chartered sebagai penyumbang bantuan kewangan tertinggi dalam kalangan bank asing di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata langkah itu memberikan modal kerja kepada PKS dengan mengurangkan beban kewangan, sekali gus membantu mereka mengekalkan perniagaan semasa krisis kesihatan dan ekonomi yang mencabar pada masa ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Abrar A Anwar, pula berkata setakat ini, Standard Chartered dan CGC telah melancarkan sejumlah 15 peringkat bernilai RM1.61 bilion.

“Banyak PKS di Malaysia telah mendapat manfaat daripada pinjaman daripada Standard Chartered, dijamin oleh CGC dan kami menjangka untuk menerima lebih banyak permohonan (untuk pinjaman),” katanya.

Sementara itu, Abrar berkata bank itu telah merangka pakej bantuan untuk PKS dan mengecualikan fi penstrukturan dan platform digital, memberikan kadar faedah lebih tinggi untuk akaun semasa, serta memberikan kadar keutamaan dan perlindungan insurans percuma untuk insiden berkaitan COVID-19.

“Kami turut mengecualikan beberapa fi kemudahan perdagangan untuk surat kredit dan caj pengendalian eksport, selain memberikan kadar pertukaran asing keutamaan untuk membantu mereka menguruskan cabaran mudah tunai,” katanya.

Standard Chartered turut membangunkan program bantuan pembayaran balik pinjaman, menawarkan lanjutan moratorium pinjaman selama tiga bulan bermula 1 Oktober 2020 untuk pelanggan yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini.

Ia turut menggesa pelanggan yang menerima potongan gaji untuk menghubungi bank bagi membincangkan kemungkinan pilihan pembayaran balik. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close