Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan Taman Sri Lambak di sini meneruskan amalannya menggantung Jalur Gemilang bagi mempamerkan semangat patriotik bersempena bulan Kemerdekaan biarpun ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
Guru tabika berkenaan Anizah Ahmad Apandi berkata lebih 200 Jalur Gemilang digantung di tabika itu tahun ini, kebiasaan yang dilakukan sejak lima tahun lepas.
Katanya inisiatif itu diteruskan bagi menyemai rasa cinta kepada negara dalam kalangan kanak-kanak seawal usia lima tahun di tabika berkenaan selain memberi pendedahan terhadap tatacara pemasangan bendera yang betul serta menghormati bendera yang menjadi panji negara.
“Usaha menggantung Jalur Gemilang ini dilaksanakan secara bergotong-royong melibatkan ibu bapa dan guru tabika selepas perbincangan serta sesi sumbangan idea reka bentuk dan tempat bendera digantung,” katanya ketika ditemui di tabika itu hari ini.
Anizah berkata meskipun tiada pertandingan mengibarkan Jalur Gemilang diadakan pada tahun ini, perkara itu tidak melunturkan semangat pengurusan tabika berkenaan untuk terus menterjemah rasa patriotik dan memeriahkan bulan Kebangsaan.
“Diharapkan dengan pemasangan Jalur Gemilang ini secara tidak langsung membangkitkan semangat penduduk di kawasan perumahan ini (Taman Sri Lambak) untuk bersama-sama mengibar bendera,” katanya. — BERNAMA