GovernansMalaysiaPilihan Editor

MPOB Perlu Jadi Penanda Aras Dunia – Johari Abdul Ghani

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) harus menjadi penanda aras kepada dunia dalam semua penyelidikan dari sektor huluan ke sektor hiliran berkaitan minyak sawit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata sektor perladangan perlu bekerjasama dengan MPOB dengan mengambil peluang dalam mengetengahkan hasil penyelidikan seperti penggunaan bahan tanaman sawit berkualiti yang dihasilkan melalui kemajuan bioteknologi dan teknik tisu kultur.

“Industri sawit memberi sumbangan penting kepada ekonomi negara yang menjana lebih RM130 bilion kepada pendapatan negara,” katanya pada sesi taklimat semasa kunjungan beliau ke Ibu Pejabat MPOB di sini, hari ini.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Pada kunjungan itu, Johari diberi taklimat mengenai peranan MPOB dan kemajuan bidang penyelidikan dan pembangunan yang meliputi semua aspek sawit.

Penyelidikan MPOB menghasilkan bahan tanaman sawit seperti PS1.1 dan Siri Klon Sawit yang meliputi CPS 1, CPS 2 dan CPS 3 yang ditawarkan kepada industri bagi penanaman secara komersial bagi pengeluaran hasil sawit yang tinggi.

Baka PS1.1 yang berciri renek berupaya menghasilkan pengeluaran minyak yang tinggi iaitu lapan tan sehektar setahun, nisbah minyak ke buah melebihi 30 peratus serta bermanfaat untuk penuaian kerana ciri pokok renek.

Benih sawit CPS 1 antara lain berupaya menghasilkan buah tandan segar melebihi 30 tan sehektar setahun dan hasil minyak antara lapan hingga 10 tan sehektar setahun.

CPS 2 yang rakis pendek sesuai untuk penanaman berkepadatan tinggi hingga 200 pokok sehektar, manakala CPS 3 dapat menghasilkan minyak yang tinggi iaitu 11.3 tan sehektar setahun.

Sehingga kini, MPOB telah membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sebanyak 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi ini telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri dan usahawan.

Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman berkualiti, baka klon sawit, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, mekanisasi ladang, teknologi pengilangan dan pemprosesan, teknologi hijau, formulasi produk makanan dan makanan haiwan serta produk oleokimia berasaskan sawit.

Penyelidikan MPOB dilaksanakan bagi memenuhi keperluan industri dan menangani cabaran dalam dan luar negara.

MPOB berjaya melaksanakan penyelidikan genom sawit dengan matlamat melestarikan industri sawit melalui pengunaan bahan tanaman berkualiti dan alat pengesan baka benih sawit tulen untuk penanaman di ladang.

Di bawah kepimpinan Johari, MPOB tekad untuk memacu kemajuan industri sawit bagi menjana kesejahteraan ekonomi negara dan menjadi penggiat utama dalam sektor minyak sayuran global. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close