Governans

Tapak Pelupusan Lynas Sedang Diwarta

Kerajaan Pahang sedang mewarta Tapak Pelupusan Sisa Industri Pelbagai Kategori untuk menampung operasi kilang pengeluar nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd.

Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata langkah untuk mewujudkan tapak seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Ketam itu sudah menerima ‘lampu hijau’ daripada Kerajaan Pahang.

Selain itu, katanya, kelulusan sama diperuntuk kepada Lynas bagi membina Tapak Pelupusan Kekal (PDF) di mana-mana bahagian dalam kawasan dekat mukim Kuala Kuantan.

“Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dalam mesyuarat pada 28 Julai lalu, meluluskan cadangan untuk mewujudkan tapak, namun tertakluk kepada Penilaian Impak Radioaktif (RIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan keperluan lain yang difikirkan perlu oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan.

“Laporan semua kajian ini perlu dikemuka kepada pihak berkuasa berkenaan untuk penilaian sebelum kebenaran membina PDF dikeluarkan AELB,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, pembangunan PDF bagi menampung operasi Lynas hanya memerlukan kawasan seluas 12 hektar atau enam peratus daripada keseluruhan kira-kira 202 hektar yang bakal diwartakan Kerajaan Pahang.

Menyentuh isu zon penampan yang dibangkitkan Tack, Khairy berkata, kerajaan menggunakan contoh pelaksanaan operasi di Bukit Kledang, Ipoh, Perak kerana mengandungi sisa radioaktif dari kilang ‘Asian Rare Earth’.

“Zon penampan dari pelupusan ke kawasan awam ialah 1.7 kilometer tetapi untuk meletakkan perkara berkenaan dalam konteks lebih jelas, dari segi kandungan paras radioaktif bahan pelupusan Bukit Kledang, iaitu torian 232 adalah sebanyak 200 bequerel setiap gram.

“Paras radioaktif Lynas pula adalah enam bequerel setiap gram. Justeru, soal zon penampan akan disesuaikan dengan pengalaman kita bersandarkan pelupusan di Bukit Kledang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai kemungkinan untuk menyambung semula penyelidikan dan pembangunan (R&D) Lynas dalam menghasilkan produk perapi tanah, Khairy berkata, pertimbangan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat oleh Jemaah Menteri.

Beliau berkata, ia antara lain bakal bersandarkan beberapa faktor, termasuk keberkesanan perapi tanah yang dihasilkan menerusi sisa penulenan air larut lesap (WLP), risiko dan kesan radioaktif terhadap manusia menerusi hasil produk tanaman.

“Menerusi kajian, kesan perapi tanah keluaran Lynas terhadap tanaman kenaf, padi, jagung, kepala sawit dan napier berjaya meningkatkan kadar hasil pengeluaran.

“Contohnya, tanaman kenaf yang menggunakan perapi tanah mencatatkan peningkatan hasil hampir 80 peratus, manakala jagung merekodkan tambahan hasil lebih 100 peratus. Justeru, ia terbukti mampu merawat dan menyuburkan tanah.

“Kita setuju untuk bina PDF, tetapi dalam tempoh menunggu ia siap dibina berdasarkan garis pencapaian yang ditetapkan, mungkin timbang cadangan bagi Lynas teruskan dengan R&D, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri, dengan syarat ia tiada kesan, bahaya dan radioaktif.

“Bagaimanapun, kita akan kekal dengan perancangan untuk pindahkan sisa berkenaan ke PDF sekiranya R&D ini tidak berjaya dikomersialkan,” katanya.

Kepada soalan tambahan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) berhubung risiko pembangunan PDF di Bukit Ketam yang menjadi kawasan tadahan air, Khairy berkata, penelitian lanjut akan dibuat dalam laporan EIA, sebelum pemindahan tempat pembinaan tapak berkenaan dilakukan. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close