Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dirinya masih berbisa apabila menjuarai acara keirin pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Perth, Australia, pada semalam (7 Mac 2026).
Pelumba berusia 38 tahun yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu mempamerkan kayuhan bertenaga pada perlumbaan akhir sebelum memintas lawan di saat genting untuk melintasi garisan penamat di tempat pertama.

Azizulhasni menewaskan pelumba Great Britain, Matthew Richardson yang hanya dipisahkan dengan 0.002 saat di tempat kedua, manakala wakil tuan rumah, Leigh Hoffman melengkapkan podium dengan catatan 0.080 saat di belakang.
Kejayaan itu sekali lagi mengukuhkan reputasi Azizulhasni sebagai antara pakar keirin terbaik dunia, selain membuktikan pengalaman dan ketenangannya masih menjadi senjata utama di pentas antarabangsa.
Kemenangan di Perth juga memberi petanda positif buat kem berbasikal trek negara dalam menghadapi kalendar kejohanan utama musim ini, dengan Azizulhasni terus menjadi sandaran Malaysia untuk memburu lebih banyak kejayaan di pentas dunia. – BH ONLINE




