Duniaku Teknokrat

KWAP umum pelantikan Jay Khairil sebagai CEO baharu

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP mengumumkan pelantikan Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa pada 20 Mei 2026.

Jay Khairil mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran luas yang merangkumi pengurusan kewangan, tadbir urus, audit dalaman, pengurusan risiko dan transformasi institusi.

Menurut KWAP, sebelum pelantikan beliau di KWAP, Jay Khairil berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) dan menerajui transformasi bank itu dalam aspek prestasi kewangan, perbankan digital, daya tahan operasi dan keterangkuman kewangan, di samping melaksanakan mandat institusi tersebut dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh Malaysia.

Ia berkata, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Audit Dalaman BSN, selain memegang jawatan kanan di CIMB Group, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) dan Bank Negara Malaysia, dengan pengalaman awal kerjaya di Hong Leong Bank dan AmMerchant Bank.

KWAP berkata, Jay Khairil memiliki Ijazah dalam bidang Perniagaan dan Kewangan dari Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland, United Kingdom, serta Diploma Lanjutan dalam Perakaunan Pengurusan (Management Accounting).

“KWAP turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Nik Amlizan Mohamed yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP sejak tahun 2020, atas kepimpinan, khidmat dan sumbangan beliau kepada kejayaan berterusan organisasi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya.

KWAP ditubuhkan pada 1 Mac 2007 melalui Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662).

Penubuhan KWAP mencerminkan hasrat kerajaan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam, khususnya dalam pengurusan kutipan caruman serta pengurusan dana berkaitan tanggungan pencen.

KWAP menguruskan caruman yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan bagi memperoleh pulangan pelaburan yang optimum melalui pengurusan dan pelaburan yang berhemat dalam ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang serta lain-lain bentuk pelaburan yang dibenarkan di bawah Akta 662.

Dana ini digunakan untuk membantu Kerajaan Persekutuan membiayai tanggungan pencen. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close