Ekonomi Islam & GlobalGovernans

ASEAN KL 2025: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 Satu Pencapaian Substantif – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta sidang kemuncak berkaitan sebagai satu pencapaian yang substantif dan mencapai objektifnya.

Perdana Menteri berkata, sidang kemuncak kali ini berhasil menonjolkan semangat kebersamaan dalam kalangan negara anggota termasuk membabitkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

“Pengalaman ini terhasil daripada usaha ramai pegawai kita, yang kemudian diterjemahkan dan ini sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Perkara yang biasanya sangat sukar untuk dibincangkan, berjaya diselesaikan dan kita sedang bergerak ke hadapan.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC sebagai contoh, memberi pengalaman sebenar kepada Malaysia kerana mesyuarat GCC yang sebelum ini diadakan di Riyadh, Arab Saudi lebih kepada formaliti.

Katanya, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pula yang julung kali diadakan adalah satu penganjuran yang amat bermakna, menyaksikan kehadiran dan penyertaan Perdana Menteri Li Qiang.

“Saya boleh katakan bahawa kita mencapai matlamat dan ini adalah hasil daripada sokongan serta semangat kebersamaan antara kita dan para pemimpin.

“Kami membincangkan beberapa bidang kerjasama secara khusus dan walaupun isu yang lebih sensitif seperti Myanmar turut dibangkitkan, wujud persefahaman yang waras mengenai tarif dan projek kerjasama,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sidang kemuncak kali ini juga menyaksikan satu kemajuan yang besar dari segi meyakinkan semua pihak menjadi lebih terbuka.

“Ambil contoh rundingan yang sudah lama berlarutan tanpa hasil yang jelas, namun kali ini kita capai satu persetujuan bersama, seperti dalam isu tarif.

“Walaupun rundingan dua hala masih diteruskan di peringkat negara, konsensus dicapai bahawa sebarang keputusan tidak boleh dibuat dengan mengorbankan kepentingan negara lain… kita mesti melindungi kepentingan rakyat ASEAN,” katanya.

Ditanya mengenai jangkaan dan harapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, Perdana Menteri berharap semua yang dibincang dapat menunjukkan perkembangan menjelang penganjuran sidang kemuncak terbabit.

“Sama ada FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas), atau FTA antara GCC dan EU (Kesatuan Eropah), atau integrasi ekonomi serantau, semua ini perlukan tindakan yang lebih konkrit dan kita mahu melihat hasilnya menjelang Oktober ini,” katanya. – BH ONLINE/BERNAMA/BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close