MalaysiaPilihan Editor

Virus Rasuah Boleh Jadi Ketara Dalam Keadaan Ekonomi Tidak Menggalakkan Akibat COVID-19, Jangan Alpa Dengan Rasuah !

KETIKA negara sibuk dengan usaha menangani virus Covid-19, timbul pula kebimbangan, bagaimana pula usaha-usaha yang dilakukan sebelum ini untuk menghapuskan satu lagi virus yang tidak kurang juga bahayanya iaitu Virus rasuah.

Apakah kita sudah alpa?

Tidak dinafikan virus Covid-19 yang kini muncul dalam pelbagai varian sangat jelas impaknya, sekali diserang mangsanya sama ada hidup atau mati.

Namun begitu serangan virus rasuah biarpun mungkin lambat sedikit nampak kesannya tetapi ia boleh menyebabkan ekonomi negara lumpuh dan rakyat juga merana.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan akibat kesan pandemik, virus rasuah boleh menjadi semakin ketara. Ramai yang bersedia membiarkan diri mereka untuk dijangkiti virus berkenaan hanya untuk mengekalkan gaya hidup normal.

Sehubungan itu, kita mengharapkan pihak pemerintah dan orang ramai tidak teralih pandangannya kepada ‘pembunuh moral yang senyap’ ini, kerana dalam kesibukan menangani Covid-19, jenayahnya masih juga terus bersarang meliputi pelbagai peringkat.

Fakta yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini yang mendedahkan bahawa sebanyak 417 kes tangkapan rasuah telah direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, mewakili peningkatan hampir 100 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Kini, terdapat pelbagai cara dan habuan ditawarkan untuk melakukan rasuah, daripada cara menyerahkan ganjaran tunai hinggalah sesuatu yang mungkin tidak terfikir dek akal.

Tidak menghairankan apabila Al-Quran mengingatkan kita akan kebejatan amalan rasuah ini? Bukankah, kerana nafsu manusia sanggup menghalalkan apa juga cara.

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188).

Junjungan Nabi Muhammad SAW juga pernah berpesan kepada kita mengenai dosa amalan rasuah ini.

“Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membantu saudaranya dengan satu bantuan. Kemudian dia diberi hadiah atas bantuannya lalu diterimanya, maka dia telah mendatangi satu pintu besar daripada pintu-pintu riba.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Ini bermakna ‘bukan kaleng-kaleng’ dosa kesalahan melakukan rasuah ini menurut agama Islam sebenarnya.

Justeru tiada alasan untuk kita mengenepikan usaha mengekang rasuah atas alasan sibuk mengurus pandemik COVID-19.

Oleh sebab itu, antara usaha yang harus dipandang serius pihak kerajaan adalah dengan menguatkuasakan akta dana politik seperti yang hangat diperbincangkan sebelum ini.

Perkara ini antara usaha yang masih ‘pending’ ke arah membentuk sebuah masyarakat yang anti kepada rasuah.

Mungkin wajar kita mengimbas kembali pandangan Bekas Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed tentang betapa serius mengenai keperluan mewujudkan akta dana politik ini. Bahkan lebih penting daripada akta lompat parti.

“Pada saya, rasuah politik merupakan ibu kepada segala rasuah kerana ia memberikan impak yang sangat besar kepada negara dan kerajaan.

“Penting untuk dijelaskan bahawa dana politik bukan hanya ketika kempen pilihan raya umum tetapi ia juga berlaku ketika pemilihan dalaman parti politik,” katanya ketika menjadi panel pada program webinar bertajuk ‘Corruption in Malaysia: Who Will Bell The Cat?’ pada 28 April 2021 lalu.

Justeru sekali lagi kita menyeru ketika pihak pemerintah terus memberi tumpuan kepada usaha menentang penularan COVID-19 dan perhatian yang sama turut diberikan kepada jenayah rasuah yang berakar umbi sudah sekian lama.

Segerakan kelulusan akta dana politik ini dan perkasakan lagi SPRM dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) secara bersepadu dan menyeluruh, supaya kita bukannya sudah terantuk baru mahu tengadah. – BACALAHMALAYSIA.MY/BEBASNEWS.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close