Kedai Runcit

Peniaga Kesal Tahu Penamatan Pasar Tani Ramadan Di Saat Akhir

Hampir 100 peniaga Pasar Tani Ramadan buntu memikirkan lokasi baharu untuk meneruskan perniagaan sepanjang bulan puasa berikutan operasi di tapak asal di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV ditamatkan.

Lebih mengecewakan mereka, makluman itu hanya diketahui malam tadi menyebabkan ramai peniaga mendakwa teraniaya.

Seorang peniaga makanan, Saifulnizam Mohamad, 36, berkata, majoriti peniaga sudah mengeluarkan modal menyediakan bahan mentah dan ada yang membayar deposit kepada pembekal.

“Kami bertanyakan wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak 21 Januari lalu lagi mengenai bila tarikh borang permohonan tapak jualan dibuka.

“Memang sangat terkejut kerana ia diketahui sangat akhir dan untuk mencari tapak jualan lain pada waktu sekarang, agak mustahil disebabkan sudah dipenuhi penjual lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya jika sebelum ini mereka hanya perlu membayar RM500 untuk satu tapak jualan seliaan FAMA dan bayaran itu sangat berpatutan berbanding di bawah syarikat swasta yang mencecah RM1,500.

“Lagipun setakat saya tahu, tapak di pekarangan stadium yang diambil alih syarikat swasta pagi tadi pun mungkin akan termasuk dengan peniaga lain selain dari kami yang sudah berniaga sejak sekian lama.

“Kebanyakan peniaga lama memang usahawan di bawah bimbingan FAMA dan kami sangat percaya dengan kewibawaan agensi itu menyelia selama ini namun sekarang kami ibarat hilang tempat bergantung,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Rini Suhaira Abdul Kadir, 25, meluahkan rasa sedih kerana sudah mengeluarkan sejumlah besar modal menyediakan bahan mentah untuk jualan air balang sempena Ramadan nanti.

Dia yang sudah memasuki tahun ketiga berniaga di Pasar Tani Ramadan itu berkata, keputusan mengejut itu sangat mengecewakannya dan berharap akan ada penyelesaian daripada pihak berwajib.

“Sekurang-kurangnya sedialah tapak lain dengan harga berpatutan kerana selain sudah tiada tempat lain untuk dicari dalam keadaan sekarang, bayaran tapak juga sudah pasti berkali ganda mahalnya,” katanya.

FAMA malam tadi mengeluarkan kenyataan media berhubung penamatan Pasar Tani Ramadan Negeri Kelantan di bawah agensi itu dengan kerjasama Perbadanan Stadium Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu bagi tahun ini.

Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim, berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira keperluan untuk menumpukan sepenuhnya sumber dan tenaga kerja kepada pelaksanaan program strategik lain yang lebih mendesak demi kepentingan sektor pertanian dan masyarakat. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close