Kedai Runcit

Bekas Pramugari Kini Miliki Blossom Scarves

Status sebagai suri rumah bukan penghalang bagi Azreen Abdullah, 32, untuk memiliki jenama sendiri menerusi pelbagai produk dan seterusnya menjana pendapatan tambahan buat diri sendiri serta keluarga.

Walaupun sibuk menguruskan rumah tangga, lebih-lebih lagi keperluan sepasang anak, yang lazimnya secara seorang diri lantaran suami sering tiada di rumah kerana bertugas di awan biru, namun Azreen masih mampu membahagikan masa untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu, beliau berkata minat berniaga mula timbul ketika menetap sementara di Istanbul, Turki kira-kira empat tahun lalu.

“Ketika berada di sana, saya tertarik dan selesa memakai tudung jenama, Orkide, keluaran tempatan yang popular dalam kalangan wanita Muslim di sana,” katanya pada Bernama baru-baru ini.

Justeru, apabila kembali ke Malaysia pada akhir 2016, beliau merancang untuk menjadi pengedar tunggal jenama berkenaan dan mencatat jualan memberangsangkan kerana kualitinya yang istimewa.

Bagaimanapun tidak lama selepas itu, perniagaan beliau agak terjejas apabila tudung jenama Orkide itu mula ditiru oleh jenama lain dari China yang menawarkan harga lebih rendah, katanya.

Berusaha dan belajar daripada pengalaman lalu, bekas pramugari itu kembali bangkit dengan menghasilkan tudung keluaran sendiri menggunakan jenama Blossom Scarves.

“Walaupun tidak sepopular jenama tudung premium lain di pasaran, Blossom Scarves yang telah berada dalam pasaran lebih dua tahun kini mempunyai peminat yang tersendiri, yang berulang kali membeli dengan saya,” katanya.

Azreen menumpukan jualan jenama itu menerusi laman media sosial, Instagram.

Beliau berkata selain tudung, Blossom Scarves, sempena Ramadan lalu, telah mengeluarkan telekung mini yang sesuai untuk dibawa ke mana-mana.

“Ia eksperimen untuk Blossom Scarves mengembangkan lagi produknya dan alhamdulillah ia diterima baik oleh pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata, namun pengeluaran telekung itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu disebabkan faktor tertentu.

Azreen berkata, pada masa yang sama, beliau juga mengeluarkan jenama minyak wangi, Hava Perfume sejak dua tahun lalu.

“Hava Perfume jenama keluaran tempatan yang menggunakan pati minyak wangi yang diimport dari Perancis, ia bersaiz kecil dan sesuai dibawa ke mana-mana. Hava Perfume juga telah berjaya menembusi pasaran di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam melangkah maju, beliau berazam meningkatkan perniagaannya dari segi jumlah keluaran agar mampu memenuhi permintaan pasaran.

“Saya juga berharap perniagaan saya ini mampu membantu suri rumah lain seperti saya untuk menambah pendapatan menerusi penyediaan peluang pekerjaan seperti menjadi ejen di bawah jenama saya,” katanya. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close