Ekonomi Islam & Global

Jenayah Kripto Mencecah Rekod AS$14 Bilion Pada 2021

Jenayah membabitkan mata wang kripto mencecah paras tertinggi sebanyak AS$14 bilion (RM58.98 bilion) tahun lalu, kata penyelidik blockchain Chainalysis hari ini, satu rekod yang hadir tatkala pengawal selia meminta lebih banyak kuasa ke atas sektor yang berkembang pesat.

Kripto yang diterima melalui alamat dompet digital yang dikaitkan dengan aktiviti haram termasuk penipuan, pasaran darknet dan perisian tebusan melonjak 80 peratus daripada tahun sebelumnya, kata Chainalysis dalam satu laporan.

Aktiviti ini mewakili hanya 0.15 peratus daripada jumlah urus niaga kripto, yang paling rendah pernah disaksikan.

Jumlah keseluruhan melonjak kepada AS$15.8 trilion (RM66.56 bilion) pada 2021, meningkat lebih lima kali ganda daripada tahun sebelumnya, kata Chainalysis yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Aset digital, daripada bitcoin kepada token, meledak popularitinya pada 2021 di tengah-tengah minat daripada pelabur institusi dan syarikat utama.

Pendatang baru telah tertarik dengan janji keuntungan cepat yang digembar-gemburkan oleh penyokong kripto, serta harapan bahawa bitcoin menawarkan perlindungan terhadap inflasi yang melambung tinggi.

Namun, mata wang kripto masih tertakluk kepada peraturan yang tidak menentu, menyebabkan pelabur mempunyai sedikit jalan keluar terhadap jenayah.

Badan pemantau kewangan dan penggubal dasar dari Washington ke Frankfurt bimbang mengenai penggunaan kripto untuk pengubahan wang haram, dengan beberapa menggesa penggubal undang-undang untuk memberikan mereka kuasa yang lebih besar ke atas industri.

“Penyalahgunaan jenayah terhadap mata wang kripto mewujudkan halangan besar untuk penggunaan berterusan, meningkatkan kemungkinan sekatan dikenakan oleh kerajaan, dan yang paling teruk menganiaya orang yang tidak bersalah di seluruh dunia,” kata Chainalysis.

Memacu peningkatan jenayah adalah satu ledakan penipuan dan kecurian di platform kewangan DeFi, katanya.

Platform DeFi – yang menawarkan pinjaman, insurans dan perkhidmatan kewangan lain sambil memintas sistem tradisional seperti bank – telah dibelenggu oleh masalah yang termasuk kecacatan dalam kod asas dan tadbir urus yang tidak jelas.

Keseluruhan kecurian mata wang kripto meningkat lebih lima kali ganda dari 2020, dengan sekitar AS$3.2 bilion (RM13.48 bilion) syiling dicuri tahun lalu.

Sekitar AS$2.2 bilion (RM9.26 bilion) daripada dana tersebut, kira-kira 72 peratus daripada jumlah keseluruhan, telah dicuri daripada platform DeFi.

Penipuan di platform DeFi – seperti “tarik permaidani”, di mana pembangun menyediakan peluang pelaburan palsu sebelum hilang dengan wang tunai pelabur – mencecah AS$7.8 bilion (RM32.85 bilion) , lonjakan 82% daripada 2021, kata Chainalysis. – REUTERS

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close