Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMK-12) akan mengambil kira aspirasi kerajaan baharu, cabaran semasa ekonomi dalam negara dan aliran global.
Sehubungan itu, Kick-Off Conference KSP RMK-12 yang berlangsung di Putrajaya, kelmarin memberi tumpuan utama kepada beberapa perkara yang merangkumi penjajaran semula ekonomi, pengukuhan kesejahteraan rakyat dan keterangkuman, mempertingkatkan kemampanan serta memperkasa pemangkin pertumbuhan dan pembangunan kemahiran, pendigitalan dan tadbir urus.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata ekonomi negara berada di persimpangan mencabar yang mana momentum pertumbuhan dunia lebih perlahan pada tahun depan.
Beliau berkata, untuk ekonomi Malaysia berkembang, kandungan teknologi, inovasi dan kreativiti tinggi perlu terus dipertingkat untuk menjana hasil kepada negara agar tidak lagi terlalu bergantung kepada penjanaan ekonomi secara fizikal dan konvensional seperti hasil komoditi dan petroleum.
“Faktor global luar kawalan menuntut kerjasama semua pihak untuk bersiap sedia dengan perancangan menangani senario lebih awal.
“Contohnya kalau perang berterusan apa kesannya kepada kedudukan ekonomi dan fiskal, begitu juga dengan eksport dan sekiranya gangguan kepada rantaian bekalan berterusan, bagaimana dengan import kita.
“Justeru kesempatan untuk KSP RMK-12 ini perlu melihat bukan semata prestasi projek dan sebagainya tapi penting untuk mengetahui cara menangani cabaran dengan mewujudkan senario-senario bagi membantu kerajaan menangani cabaran ini,” katanya.
Fleksibiliti, tindak balas cabaran
Berikutan itu, Rafizi menuntut fleksibiliti daripada semua pihak dalam bertindak balas kepada apa-apa cabaran dan isu yang dihadapi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Nor Azmie Diron, berkata input daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai juga sangat diperlukan kerana dalam pelaksanaan KSP RMK-12 , kaedah bottom up masih diutamakan.
“Maklum balas dari peringkat bawah sangat diperlukan bagi menggubal KSP ini supaya akhirnya akan dapat melihat seluruh spektrum ekonomi negara.
Rafizi bersama Nor Azmie (kanan) pada sidang media majlis Kick-Off
Persidangan Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Putrajaya, kelmarin.
“Kita raikan pandangan NGO, ahli akademik, sektor swasta, pemain industri serta wakil masyarakat dalam merangka dan menggubal dasar pembangunan sosioekonomi negara supaya memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat.
“Pada kita antara perkara utama perlu diberi perhatian kini dan masa hadapan ialah berkait perumahan, pendidikan, pekerjaan akan menjadi tunjang dalam menyediakan KSP RMK-12,” katanya.
Beliau berkata, selain itu turut diperlukan input berkait maklumat sosioekonomi negara dan perubahan iklim yang juga penting dalam membuat kajian RMK-12 ini.
“Perkara yang berkaitan dengan sosial kita iaitu kemiskinan bandar dan luar bandar, ia menjadi keutamaan bagi perancangan masa hadapan. Selain RMK-12, kita juga perlu melihat melangkaui tempoh rancangan ini,” katanya.
Nilai semula situasi semasa
Nor Azmie berkata, persidangan KSP RMK-12 adalah penting untuk melihat semula keadaan yang berlaku kepada negara.
“Kita tahu sebagai negara dagang, perkara yang berlaku di luar negara, geopolitik global seperti berlaku di Eropah, perang Russia dan Ukraine yang masih berlarutan, perkara yang berlaku di China dan hubungannya dengan Taiwan serta geopolitik di Asia Tenggara sangat mempengaruhi keadaan ekonomi negara.
“Jadi kena buat semakan bagaimana kita akan pergi selanjutnya selepas 2022. Selain itu juga kita melihat cabaran dalam negara, isu luaran seperti perang telah memberi tekanan kos kepada ekonomi domestik.
“Jadi bagaimana akhirnya tekanan kos ini dapat diimbangi dengan keadaan fiskal terhad, bagi membolehkan ekonomi tetap tumbuh dan positif,” katanya.
Beliau berkata, lazimnya KSP selepas dua tahun pelaksanaan RMK, bertujuan menilai pencapaian dan menyemak semula sasaran, menganalisis jurang pencapaian, mengenal pasti isu dan cabaran ekonomi global dan domestik serta menyusun semula strategi dan keutamaan dasar.
“EPU juga menganjurkan sesi libat urus di seluruh negara dan pada masa sama akan melancarkan portal KSP RMK-12 yang akan membolehkan semua pihak menyalurkan pandangan dan cadangan,” katanya.
Penyediaan KSP RMK-12 bermula pada Oktober 2022 selepas edaran Surat Arahan Ketua Setiausaha Negara bertarikh 4 Oktober.
KSP RMK-12 dijangka dibentangkan di Parlimen pada September atau Oktober 2023. – BH ONLINE