GovernansPilihan Editor

10 Syarikat Besar Malaysia Kaji Labur Di Ibu Kota Nusantara – PM

Sekurang-kurangnya 10 syarikat besar negara termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) sedang mengkaji untuk melabur dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerjasama itu antaranya membabitkan bidang petrokimia dan oleo kimia, farmaseutikal, pengajian tinggi dan penjagaan kesihatan.

Mengulas lanjut katanya, pembangunan itu juga tidak hanya terikat di sempadan IKN namun ia akan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai antara tapak strategik dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Sebelum ini, Presiden Indonesia Jokowi (Joko Widodo) maklumkan antara negara ASEAN, Malaysia agak ke depan dan lebih aktif dalam kerjasama ini.

“Kita anggap pendekatan baik di Sarawak khususnya dengan pelaburan sangat menarik dan meyakikan malah dalam rundingan kita dengan Indonesia baru-baru ini beberapa syarikat antaranya TNB dan TM terbabit dalam hal ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, projek itu akan diketuai Sarawak berikutan negeri terbabit mempunyai kemudahan gas dan saluran paip ke IKN di mana Indonesia menganggap ia pendekatan paling baik dengan pelaburan menarik dan meyakinkan.

Beliau berkata, pihaknya sudah memberitahu Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kerana faktor kedekatan dengan negeri itu lebih mendahului, maka ia akan diselaraskan supaya lebih bermanfaat.

“Bagi kita sinergi ini akan memberi keuntungan kepada dua negara tetapi kerana kedekatan Sabah dan Sarawak dengan ibu kota baharu dan gesaan Brunei dan Filipina, saya anggap BIMP-EAGA ini akan diberi perhatian lebih di Sarawak dan Sabah berbanding Semenanjung,” katanya.

Berhubung menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai antara tapak strategik BIMP-EAGA, ia ada dirundingkan bersama dengan Jokowi dan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, baru-baru ini.

“Sangat menarik dalam rundingan kita dengan Presiden Jokowi dan Presiden Filipina baru-baru ini, hal ini ditekankan dan kalau ia ditekankan maknanya mengikut geopolitik dan strategik, maka tempat di Sabah dan Sarawak itu lebih utama.

“Kalau bicarakan soal Sabah dan Sarawak, ia tidak terikat kepada IKN Nusantara tapi dengan kekuatan dan beberapa inisiatif ke depan oleh kerajaan Sarawak, saya lebih yakin mereka akan jadi pemangkin pertumbuhan kawasa BIMB-EAGA dengan lebih menarik,” katanya.

Melalui Belanjawan 2023 sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi pembangunan bandar yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Perdana Menteri berkata, ia khususnya untuk pembangunan infrastruktur asas iaitu kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah, pos kawalan dan kuarters Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kerajaan persekutuan sedang menyelaraskan bersama Sabah dan Sarawak di mana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membantu menyelaraskan tindakan ini,” katanya.

Mengenai persediaan dari aspek rakyat kepada rakyat (P2P), Anwar berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan kerjasama antara universiti, belia, badan Islam, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang harus ditingkatkan lagi dengan pembangunan IKN baharu itu. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close