Pilihan EditorTwo Cents

FDI Cerminkan Tahap ‘Kesihatan’ Ekonomi Negara

Oleh Mohd Rozaimy Ridzuan

 

Sejak awal 1960-an, pelaburan langsung asing (FDI) menjadi nadi penggerak dalam merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Kini, sebilangan besar FDI mengalir dari negara maju ke negara sedang membangun menerusi syarikat multinasional (MNC). Ahli akademik menjalankan beberapa kajian dan mendapati pertumbuhan ekonomi berlaku di China dan Korea Selatan tidak dipengaruhi FDI.

Namun, banyak kajian menunjukkan FDI memberikan pelbagai kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Realitinya, FDI memainkan peranan penting dalam proses pembangunan negara seperti penyediaan modal dan teknologi kepada tuan rumah.

Latihan pengurusan dan buruh menerusi pemindahan teknologi dibawa FDI dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran negara, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi. FDI juga menyediakan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran dalam negara itu.

Pengenalan dasar kerajaan yang mendukung tarikan FDI seperti Akta Insentif Pelaburan 1968, penubuhan zon perdagangan bebas seawal 1970-an dan pemberian insentif eksport pada 1980-an melonjakkan pertumbuhan FDI Malaysia.

Dasar ini kian membuahkan hasil apabila Malaysia menjadi antara negara penerima FDI tertinggi di rantau Asia sejak 2000.

Menjelang 2018, pelabur asing lebih tertarik untuk melabur di Malaysia kerana persekitaran perniagaan diwujudkan bersifat liberal, di mana insentif ditawarkan kerajaan semakin kompetitif.

Ini ditambah penyediaan infrastruktur maju dan kadar perbelanjaan domestik tinggi disebabkan pendapatan per kapita rakyat yang tinggi.

Begitu juga pada 2019 di mana jumlah FDI di Malaysia meningkat daripada 30.7 bilion pada 2018 kepada 31.7 bilion pada 2019, didorong suntikan ekuiti dari Jepun, khususnya dalam sektor kesihatan.

Namun, keadaan terus berubah pada 2020 apabila UNCTAD melaporkan FDI Malaysia terjejas teruk berbanding negara ASEAN lain. Tahun lalu, FDI negara merosot 68 peratus, keadaan yang tidak pernah berlaku sejak 1990-an dan lebih satu pertiga teruk berbanding selepas krisis kewangan global 2008-2009.

Mengapa jumlah FDI negara merudum? Ini boleh dibincangkan dengan melihat faktor sering dijadikan elemen pengukur buat pelabur asing.

Saiz pasaran ekonomi sesebuah negara mampu menjadi pengukur utama kerana saiz pasaran domestik yang secara relatifnya besar mampu memberikan kelebihan skala ekonomi, akhirnya menguntungkan pelabur.

Kestabilan politik, ekonomi dan dipacu tatakelolaan bebas rasuah serta birokrasi memberikan keyakinan kepada pelabur asing. Ketidakstabilan politik dan ekonomi menyebabkan pelabur kurang berminat kerana takut kehilangan dan kerugian aset dilaburkan.

Kestabilan politik juga berkait rapat dasar ekonomi kerajaan. Ketiadaan dasar ekonomi jelas dan konsisten akan membentuk persepsi kepada pelabur bahawa kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak kepada mereka untuk melabur kerana risaukan tentang risiko besar yang bakal ditanggung.

Kos upah pekerja dan kadar cukai korporat secara relatifnya tinggi berbanding negara lain turut mempengaruhi. Pelabur asing lebih cenderung meminimumkan kos pengeluaran dengan mengalihkan pelaburan ke negara yang mempunyai kos upah pekerja serta kadar cukai korporat lebih rendah.

Mengambil kira faktor itu, pelbagai langkah perlu diambil segera bagi memulihkan tahap kesihatan ekonomi negara.

Transformasi politik menerusi ‘genjatan senjata politik’ perlu dilakukan demi mengembalikan kepercayaan pelabur. Kepentingan negara perlu diutamakan berbanding peribadi.

Amalan rasuah perlu dikekang secara tuntas dengan mengutamakan pendekatan pencegahan. Kerenah birokrasi mesti dihapus tanpa melemahkan keselamatan negara.

Hubungan antarabangsa juga perlu diperkukuhkan supaya kesan limpahan dapat diterjemahkan menerusi pertambahan dalam FDI.

Selain itu, pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan dan perkhidmatan jalur lebar perlu dipertingkatkan supaya suasana perniagaan kondusif dapat dicapai.

Semua dasar mendukung FDI perlu diperhalusi semula dan cukai korporat perlu dilihat lebih kompetitif untuk menarik pelabur asing melabur di Malaysia. – BH ONLINE

 

  • Penulis ialah seorang pensyarah.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close