MalaysiaPilihan Editor

MARA Batal Polisi Pinjaman TESP Berasaskan Merit, Boleh Semak Keputusan Permohonan Petang Ini (5 Mac 2025)

Polisi baharu berasaskan merit dan kuota yang diperkenalkan Bahagian Penganjuran Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menilai kelayakan penerima pembiayaan pengajian pelajar di institusi pendidikan MARA (IPMA) sebelum ini, dibatalkan serta-merta bermula hari ini.

Susulan itu, pelajar IPMA khasnya yang mengikuti pengajian di UniKL, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang sebelum ini resah dengan status permohonan pinjaman pendidikan mereka akibat polisi baharu itu tidak perlu bimbang kerana ia sedang diproses dan keputusannya boleh disemak dalam sistem bermula petang ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, berkata surat tawaran pinjaman pendidikan akan diterima pelajar terbabit secara berperingkat dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, pembatalan polisi baharu dan kembali kepada polisi asal tanpa sebarang perubahan itu dibuat selepas beliau bertemu serta berbincang dengan pihak pengurusan MARA pagi tadi.

Asyraf Wajdi berkata, keadaan itu menyebabkan pelajar yang baru memohon pinjaman TESP terkesan akibat perubahan dasar polisi itu apabila permohonan mereka tidak berjaya akibat kuota tawaran terhad walaupun sudah mencapai syarat asas tawaran pinjaman seperti markah CGPA atas 2.75 dan sebagainya.

“Pada perbincangan dengan pengurusan MARA pagi tadi, saya mengarahkan supaya batalkan polisi baharu itu dan kembali kepada polisi asal sebelum ini.

“Jadi, semua pelajar khasnya yang berada di IPMA tidak perlu bimbang dan boleh memeriksa status permohonan mereka petang ni dengan surat tawaran dihantar selepas ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Dalam garis panduan TESP pada November 2024 dinyatakan pertimbangan tawaran pinjaman tertakluk kepada peruntukan sedia ada, merit kelayakan dan perubahan dasar MARA dari semasa ke semasa, selain MARA tidak terikat untuk meluluskan sebarang permohonan diterima walaupun ia memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan, Asyraf Wajdi mengarahkan segala pembayaran membabitkan IPMA ditangguhkan dulu bagi mengkaji semula syarat baharu dilaksanakan Bahagian Penganjuran Pendidikan agensi itu yang dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan dan implikasi kepada pelajar IPMA.

Ia susulan ramai pelajar IPMA berdepan kekecewaan apabila permohonan pinjaman pelajaran MARA di bawah TESP 2024 ditolak, malah selepas menunggu dua bulan keputusan permohonan itu diklasifikasikan sebagai tidak layak meskipun yakin pencapaian akademik mereka melayakkan untuk menerima pembiayaan.

Keputusan itu menimbulkan kritikan dan persoalan terutama mereka yang bergantung sepenuhnya pada pinjaman ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.

Asyraf Wajdi berkata, ramai keluarga dengan pendapatan isi rumah rendah (B40) terkesan akibat perubahan polisi itu, menyebabkan beliau terpanggil untuk menyelesaikan segera isu membabitkan polisi ditetapkan eksekutif MARA ini.

Beliau berkata, perubahan dilakukan ini dibuat atas nilai ihsan kepada pelajar IPMA yang memohon TESP. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close