Governans

MPOB Akan Laksana Pemeriksaan Mengejut Timbangan Sawit Bermula 2025 – Johari Ghani

Anggota penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan turun padang dan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas syarikat peraih buah sawit bermula awal 2025 dalam memastikan ketepatan timbangan demi melindungi kepentingan pekebun kecil.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini juga sejajar dengan usaha menangani isu berkaitan aduan pekebun kecil mengenai wujudnya perbuatan memanipulasi timbangan.

Beliau berkata setiap timbangan perlu jelas, disertakan resit yang lengkap dengan maklumat jumlah berat, tan dan kadar hasil minyak (OER) sebenar, sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Mulai 2025 ini, saya sudah beritahu MPOB bahawa kita akan mensyaratkan pembeli-pembeli sawit atau ‘dealer’ (peniaga) ini betulkan penimbang masing-masing. Jangan ada lagi aduan pekebun kecil mengatakan alat penimbang tak betul.

“Kena serah (resit itu) kepada pekebun kecil untuk disimpan. Saya dapat banyak maklum balas mereka mengadu kata ‘dealer’ ini tak timbang, salah timbang dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh prestasi komoditi minyak sawit Malaysia, Johari berkata tumpuan harus diberikan kepada aspek kelestarian sambil meningkatkan hasil pengeluaran.

Menurutnya, sebagai pengeksport kedua terbesar minyak sawit, Malaysia perlu berusaha untuk kekal berdaya saing dengan meningkatkan pengeluaran.

“Sama ada minyak sawit, getah, kacang soya, bunga matahari, gandum, atau koko (semuanya) ditentukan oleh aspek penawaran dan permintaan.

“Apabila penawaran melebihi permintaan, harga akan jatuh dan permintaan mengatasi penawaran (akan menyebabkan) harga meningkat,” katanya.

Menjawab impak dasar atau pendirian Presiden dipilih Donald Trump 2.0 ke atas sektor sawit, beliau berkata KPK akan meneliti dahulu pelan tindakan rasmi yang akan dilaksanakan oleh pemimpin Amerika Syarikat itu selepas pelantikan rasminya pada bulan depan. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close