Dimensi Bisnes

News Corp Henti Cetak Lebih 100 Akhbar Australia

Syarikat media utama milik Rupert Murdoch, News Corp Australia, hari ini mengumumkan akan berhenti mencetak lebih 100 akhbar wilayah dan tempatan berikutan kemerosotan iklan, diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, News Corp pada 1 April lalu, mengumumkan akan menghentikan sementara pencetakan kira-kira 60 akhbar daerah, yang dijangka menyebabkan ratusan kehilangan kerja.

Syarikat itu berkata sebahagian besar penerbitan akhbar wilayah dan tempatan akan beralih kepada versi digital sepenuhnya menjelang 29 Jun ini membabitkan 76 akhbar manakala 35 akhbar lagi ditamatkan penerbitannya.

Perkembangan itu kini menjadi sebahagian trend industri surat khabar global di mana kekurangan pembaca dan kecenderungan pengiklan menggunakan Google atau Facebook turut menjejaskan pendapatan pengiklanan media.

Pengerusi Eksekutif News Corp Australia, Michael Miller, berkata pandemik COVID-19 turut mengubah keadaan di mana sektor penerbitan tidak dapat menampung perniagaan.

“Pengiklanan media cetak yang menjadi penyumbang terbesar pendapatan akhbar, semakin berkurangan dan menyebabkan kerugian ketara.

“Justeru, bagi menghadapi cabaran ini, kami menstruktur semula News Corp Australia untuk menumpukan kepada apa yang diperlukan oleh pembaca dan perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan itu akan mengakibatkan pengurangan pekerja, namun lebih 375 wartawan akan terus membuat liputan berita setempat dan wilayah.

The Sydney Morning Herald melaporkan, sebelum ini terdapat kira-kira 1,200 orang bekerja di bahagian wilayah dan tempatan News Corp Australia.

Ini bermakna akhbar di hampir semua negeri dan wilayah termasuk berpuluh di Queensland, New South Wales dan Victoria, akan terjejas.

Pengumuman itu menyusuli peneutupan beberapa media lain, antaranya agensi berita kebangsaan AAP, yang dijangka ditutup dalam beberapa minggu lagi melainkan ada usaha saat terakhir bagi menyelamatkannya. – AFP

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close