Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
UMUM mengetahui bahana penularan wabak COVID-19 begitu serius. Kemelesetan ekonomi dijangka berlaku pada tahun ini dan angka pengangguran dianggarkan terus meningkat.
Antara sektor yang mendapat perhatian utama kerajaan ialah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Logiknya adalah sektor ini mewakili kelompok yang signifikan dalam ekonomi negara yang mana nisbah output PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah 38.3 peratus pada 2018.
Nilainya bersamaan RM521.7 bilion pada tahun berkenaan.
Di samping itu, jumlah pekerja di sektor PKS mewakili dua pertiga daripada jumlah pekerjaan dan ia menyumbang 17.3 peratus kepada jumlah eksport negara.
Maka tidak hairan mengapa sektor PKS ini menjadi tumpuan utama dalam pakej rangsangan ekonomi negara.
Mungkin ada yang berpendapat pakej rangsangan ini perlu ditambah supaya sektor PKS akan terus dapat bertahan.
Berdasarkan kedudukan kewangan semasa kerajaan, mereka sememangnya mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian berikutan hutang kerajaan kebanyakan dalam mata wang ringgit yang mana ia mewakili 96 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan.
Di samping itu, pelabur institusi seperti dana pencen, syarikat insurans dan pengurus dana sentiasa mempunyai minat belian tinggi setiap kali kerajaan menerbitkan hutang mereka.
Oleh itu, persoalan penting adalah bentuk kewangan yang perlu diberikan serta golongan yang layak menerimanya. Dalam hal ini, bantuan ini tidak boleh diberi secara semberono ataupun pukul rata.
Perincian yang teliti terhadap PKS yang layak menerima perlu diberi perhatian supaya ia dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya serta mampu memberi kesan pengganda yang tinggi seperti mewujudkan permintaan terhadap buruh serta barang modal.
Dalam hal ini, keutamaan perlu diberikan kepada sektor yang masih terkesan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada 4 Mei lalu.
Sektor seperti pelancongan perlu diberi perhatian khusus kerana pelancong masih tidak dibenarkan masuk ke negara ini. Situasi ini menyebabkan kurangnya permintaan terhadap pengangkutan, perkhidmatan agensi pelancongan, penginapan serta makanan dan minuman.
Selain memastikan sektor mana yang masih terkesan meskipun PKPB dilaksanakan, penelitian terhadap kecairan dan tahap keberhutangan
PKS ini juga perlu diteliti. Ini bagi memastikan supaya PKS dapat menstruktur semula kewangan secara optimum dengan mengambil kira kedudukan kewangan mereka sebelum dan selepas penularan wabak COVID-19.
Mungkin ada aset yang boleh dicairkan dijadikan modal pusingan di samping memanjangkan tempoh matang bagi hutang sedia ada.
Selain itu, pengusaha PKS juga perlu diberi bimbingan mengenai kelestarian perniagaan yang mereka ceburi dan apakah mereka perlu beralih arah ke sektor yang berbeza bagi memastikan kelangsungan mereka sebagai ahli perniagaan.
Keputusan strategik seperti ini perlu dibimbing oleh tenaga pakar supaya proses peralihan boleh berlaku dengan lancar.
Sebagai contoh, sektor agromakanan dilihat mempunyai potensi tinggi untuk diceburi berikutan tahap sara diri yang rendah. Tahap sara diri bagi cili dan daging adalah 38.8 peratus dan 22.2 peratus.
Ini bermakna negara kita banyak bergantung kepada import bagi memenuhi permintaan tempatan.
Berdasarkan angka ini, terdapat peluang perniagaan di sektor agromakanan yang boleh diceburi berikutan negara kita mempunyai iklim yang sesuai untuk bertani.
Jadi, bagi mereka yang sebelum ini beroperasi dalam sektor yang lain dan ingin menceburi sektor agromakanan, mereka perlu mendapat khidmat nasihat dari badan kerajaan yang berkaitan seperti Lembaga Pertubuhan Perladangan (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Ini bagi memastikan mereka benar-benar faham ekosistem agromakanan serta kemahiran yang diperlukan.
Selain itu, kecekapan perniagaan perlu dinilai sama ada PKS masih berada di takuk lama dalam melaksanakan perniagaan atau tidak.
Jurang kemahiran ini perlu dikenal pasti supaya PKS dapat menghasilkan output yang cekap, di samping dapat memaksimumkan keuntungan mereka.
Justeru, sekiranya bantuan kerajaan ini mahu ditambah, ia perlu bersasar dan mampu meningkatkan daya saing PKS dalam jangka panjang.
Pengusaha PKS pula perlu bersifat terbuka dan sentiasa menilai perniagaan mereka dan membuat keputusan strategik dengan mengambil kira aspek seperti pasaran, pesaing, halangan perniagaan, kos operasi serta tahap penggunaan digital.
Apabila kita berfikir secara holistik, bantuan yang diperlukan mungkin tidak semestinya berbentuk kewangan semata-mata.
Penting juga bagi PKS untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Apabila berdaftar, maka mudah bantuan kerajaan untuk disalurkan, di samping menggalakkan PKS ini menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai sekiranya sudah mencapai had yang melayakkan mereka membayar cukai.
Kerajaan perlu merancakkan ekonomi supaya hasil cukai dapat dikutip, manakala PKS pula memerlukan ekosistem serta pertumbuhan ekonomi yang tinggi bagi menjayakan perniagaan mereka.
Ia seumpama pepatah Melayu bagai ‘aur dengan tebing’ yang mana PKS dan kerajaan saling memerlukan. – BERITA HARIAN ONLINE
- Penulis adalah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad