Two Cents

PANDANGAN: Dilema Suri Rumah, Sembilan Daripada 10 Bergantung Kepada Kewangan Suami – KRI

Majoriti suri rumah di Malaysia berdepan keadaan kewangan yang terancam dan sering terperangkap dalam dilema antara tanggungjawab keluarga dan keinginan untuk berkerjaya, menurut satu laporan penyelidikan terkini.

Laporan oleh Khazanah Research Institute (KRI) itu mendedahkan hampir sembilan daripada sepuluh suri rumah (88.9 peratus) bergantung sepenuhnya kepada suami untuk sokongan kewangan, meletakkan mereka dalam kedudukan yang sangat terdedah sekiranya berlaku perceraian, kematian pasangan, atau kehilangan pendapatan isi rumah secara tiba-tiba.

Kertas perbincangan bertajuk “Interwoven Pathways: The Care and Career Conundrum in Women’s Empowerment” itu mengupas pelbagai cabaran yang dihadapi oleh wanita di luar tenaga buruh, khususnya suri rumah, dan mendapati bahawa peranan mereka yang penting dalam masyarakat sering dipandang rendah dan tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Laporan itu turut membetulkan persepsi umum bahawa suri rumah memilih untuk tidak bekerja.

Dua pertiga (66.3 peratus) daripada mereka yang tidak bekerja merancang untuk mencari pendapatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Namun, hasrat ini sering terhalang oleh tanggungjawab keluarga yang berat.

Tanggungjawab kerja rumah dan penjagaan ahli keluarga menjadi punca utama mengapa wanita berada di luar tenaga buruh.

Kajian KRI bersama Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) mendapati 52.7 peratus wanita yang pernah bekerja berhenti kerja kerana tanggungjawab berkenaan.

Selain “faktor penarik” di rumah, keadaan pasaran kerja itu sendiri menjadi “faktor penolak.”

Seramai 13.6 peratus suri rumah yang pernah bekerja berhenti kerana persekitaran kerja yang tidak mesra keluarga, manakala 9.1 peratus berhenti kerana gaji yang terlalu rendah.

Isu gaji ini amat ketara kerana hampir 70 peratus suri rumah yang pernah bekerja melaporkan pendapatan terakhir mereka adalah di bawah RM3,000 sebulan.

Akibatnya, ramai yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan atau bekerja sendiri (75.8 peratus) kerana ia dilihat menawarkan fleksibiliti untuk mengimbangi kerja dan keluarga, walaupun ia terdedah kepada risiko ketidakstabilan pendapatan.

Selain cabaran ekonomi, suri rumah juga berdepan dengan tekanan sosial dan stigma negatif daripada masyarakat.

Kajian itu mendedahkan 60 peratus responden merasakan masyarakat menganggap suri rumah mempunyai banyak masa lapang, manakala 45.5 peratus berdepan tanggapan bahawa mereka tidak menyumbang kepada keluarga.

Seorang responden berkelulusan ijazah berkongsi pengalamannya sering ditanya “kenapa berhenti kerja? Ruginya,” yang menunjukkan bagaimana masyarakat cenderung meletakkan taraf suri rumah lebih rendah berbanding wanita berkerjaya.

Keadaan menjadi lebih rumit bagi mereka yang tergolong dalam “generasi sandwich.”

Laporan mendapati 26.4 peratus suri rumah perlu memikul tanggungjawab serentak menjaga anak-anak dan ibu bapa yang sudah tua.

Beban berganda ini menambahkan lagi tekanan fizikal dan emosi, sekali gus menyukarkan mereka untuk mempertimbangkan sebarang pekerjaan berbayar.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar mesra keluarga dan program untuk menggalakkan wanita kembali bekerja, laporan KRI menunjukkan keberkesanannya masih terhad.

Program Career Comeback Programme (CCP), sebagai contoh, hanya berjaya menarik 2,787 peserta dalam tempoh lapan tahun.

Begitu juga dengan peruntukan cuti bersalin selama 98 hari, purata yang diambil oleh pekerja wanita hanyalah 53.3 hari, menandakan kemungkinan kurangnya sokongan di tempat kerja atau kebimbangan kewangan.

Bagi menangani isu ini secara menyeluruh, KRI menggariskan keperluan untuk sebuah anjakan paradigma. Ia bukan sekadar bertujuan meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh, tetapi juga membina sebuah infrastruktur penjagaan yang kukuh.

Ini termasuklah mengiktiraf secara rasmi kerja penjagaan tanpa gaji dalam dasar negara, mewujudkan jaminan pendapatan yang inklusif untuk suri rumah, menyediakan program latihan kemahiran yang fleksibel, memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mampu milik, serta menggalakkan perkongsian tanggungjawab penjagaan di rumah secara saksama antara lelaki dan wanita.

Laporan ini menyimpulkan bahawa pemerkasaan wanita di Malaysia memerlukan tindakan yang bersepadu untuk menghargai semua bentuk sumbangan wanita, sama ada di tempat kerja mahupun di rumah, demi pembangunan keluarga, masyarakat dan negara yang inklusif. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close