MalaysiaPilihan Editor

Prinsip ‘siapa dahulu’ kekal, tetapi mesti cukup RM15,000 – TH

Prinsip “siapa dahulu, didahulukan” dalam sistem giliran haji kekal digunakan, namun mulai 2029 kedudukan berkenaan hanya dapat dikekalkan oleh pendeposit yang memenuhi syarat simpanan minimum RM15,000.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, bagi pendeposit yang sudah mendaftar haji, tarikh dan masa pendaftaran asal masih menjadi asas menentukan kedudukan giliran dengan syarat mereka mencukupkan simpanan RM15,000 selewat-lewatnya pada 31 Disember 2028.

Mulai 1 Januari 2029, pendeposit yang masih belum mencapai jumlah berkenaan akan berdepan penyusunan semula kelayakan giliran dan kedudukan tidak lagi bergantung kepada tarikh pendaftaran semata-mata.

Keadaan itu turut terpakai kepada pendeposit yang sudah menunggu selama 10 atau 20 tahun, walaupun TH mengakui kedudukan giliran yang sekian lama dipegang membawa harapan besar kepada mereka.

“Prinsip ‘siapa dahulu, didahulukan’ masih dikekalkan dalam kalangan pendeposit yang memenuhi syarat RM15,000, berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji masing-masing,” menurut TH dalam maklum balas kepada Media Prima.

Bagaimanapun, pendeposit yang hanya mencapai simpanan RM15,000 pada atau selepas 2029 tidak akan memperoleh semula kedudukan giliran lamanya secara automatik, walaupun kembali memenuhi syarat kewangan untuk berada dalam giliran haji.

Sebaliknya, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan susunan giliran dan mekanisme kelayakan yang berkuat kuasa ketika itu.

TH berkata, atas faktor itu tempoh peralihan lebih dua tahun diberikan kepada pendeposit sedia ada supaya mereka dapat meningkatkan simpanan secara berperingkat dan melindungi kedudukan giliran yang sudah lama dibina.

Institusi berkenaan menasihatkan pendeposit supaya tidak menunggu sehingga penghujung 2028, sebaliknya mula meningkatkan simpanan dari sekarang dan mengekalkan sekurang-kurangnya RM15,000.

Keperluan itu memberi kesan besar apabila lebih 80 peratus daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit yang sudah mendaftar haji masih mempunyai simpanan kurang RM15,000.

TH menegaskan penyusunan semula giliran bukan bertujuan membolehkan seseorang “memintas” pendeposit lain, sebaliknya bagi memastikan sistem lebih adil, realistik dan mengambil kira tahap kesiapsiagaan sebenar bakal jemaah.

“Matlamat TH bukan untuk menafikan peluang sesiapa, tetapi untuk membantu membentuk sistem giliran yang lebih adil, teratur dan mencerminkan kesiapsiagaan sebenar bakal jemaah,” menurut TH.

Sebelum ini TH menerusi Seruan Istito’ah memperkenalkan Kelayakan Giliran Haji Automatik apabila simpanan pendeposit mencapai minimum RM15,000, manakala mereka yang sudah mendaftar diberikan sehingga 31 Disember 2028 untuk mencukupkan jumlah itu bagi mengekalkan giliran sedia ada.

Menurut penjelasan rasmi TH, sistem baharu tidak menghapuskan prinsip “yang dahulu didahulukan.”

Tarikh dan masa pendaftaran masih diambil kira, tetapi tertakluk kepada pematuhan syarat simpanan minimum RM15,000.

Mulai 1 Januari 2029, TH akan menyusun semula kelayakan giliran berdasarkan pematuhan syarat simpanan itu. Pendeposit yang mengekalkan RM15,000 berpeluang mendapat kelayakan lebih awal menggantikan mereka yang gagal mencapai jumlah berkenaan dalam tempoh peralihan.

TH turut menjelaskan syarat baki minimum RM15,000 mula diperkenalkan pada 2025 bagi penerimaan surat tawaran haji dan berjaya menurunkan kadar penangguhan tawaran kepada 18 peratus berbanding purata 50 peratus sebelum ini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close