Kedai RuncitPilihan Editor

Belajar Taktik, Strategi Berniaga Warga Asing

Oleh Nurul Atasha Jamaludin

 

PERBAHASAN mengenai fenomena lambakan warga asing menjalankan perniagaan sendiri kian meningkat. Dapat diperhatikan bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia warga asing mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk terbabit aktiviti perniagaan.

Antara sebab warga asing berhijrah ke negara lain kerana mereka mengalami kesempitan hidup dan peluang terhad untuk mencari rezeki di negara mereka.

Oleh itu, mereka memanfaatkan setiap peluang yang ada di mana pada awalnya hanya datang sebagai pekerja, namun lama-kelamaan mula menjalankan perniagaan.

Namun, sebilangan besar memonopoli beberapa perniagaan di lokasi tertentu, memanifestasikan bahawa kewujudan peniaga warga asing merampas peluang dan hak perniagaan serta ekonomi masyarakat tempatan.

Lihat sahaja di sekitar Jalan Reko di Kajang misalnya, rata-rata perniagaan dimonopoli warga asing seperti kedai runcit yang dikendalikan sebilangan besar warga Acheh dan Bangladesh.

Baru-baru ini, terdapat gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar kerajaan tidak memberi lesen perniagaan kepada rakyat tempatan yang berkahwin dengan warga asing.

Mereka mendakwa tujuan warga asing berkahwin dengan rakyat tempatan adalah sebagai batu loncatan untuk membina empayar perniagaan di negara ini.

Namun, banyak isu perlu dikaji dan dipertimbangkan bagi menemui titik keseimbangan dan keadilan untuk kedua-dua belah pihak.

Tidak adil kerajaan menidakkan hak rakyat tempatan untuk memohon lesen perniagaan.

Tambahan lagi, isu warga tempatan bertemu jodoh dengan warga asing bukan isu yang harus diperdebatkan kerana kita tiada hak dalam menentukan jodoh pertemuan sesama manusia, walaupun terdapat dakwaan wanita tempatan khususnya dipergunakan warga asing bagi tujuan pendaftaran perniagaan.

Seperti ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak menjadi kesalahan untuk memberi lesen kepada rakyat tempatan yang berkahwin dengan warga asing kerana syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan pemberian lesen perniagaan.

Ini termasuk pemilik perniagaan didaftarkan perlu berada di premis perniagaan dan menggaji pekerja tempatan.

Namun, kebimbangan masyarakat tempatan ada asasnya. Lambakan warga asing yang membuka premis perniagaan di sekitar kawasan tumpuan utama tanpa ada kelibat warga tempatan, sama ada sebagai pemilik mahupun pekerja.

Sedangkan, peniaga tempatan pula masih mengeluh menagih lesen untuk perniagaan mereka walaupun melalui saluran betul.

Maka tidak hairanlah timbul isu di mana terdapat kepincangan dalam penguatkuasaan pemberian lesen itu.

Di sisi lain, segelintir rakyat tempatan sendiri ingin mengaut keuntungan segera dengan menyewakan lesen dan premis untuk warga asing menjalankan perniagaan.

Peniaga tempatan perlu bertanya kembali mengapa begitu ramai pelanggan memilih peniaga warga asing untuk berurus niaga.

Apakah strategi diguna pakai yang membolehkan begitu ramai pelanggan tertarik membeli atau mendapatkan khidmat di premis perniagaan mereka.

Contohnya, kemahiran komunikasi peniaga warga asing ini dalam melayan pelanggan harus dipuji.

Rata-rata sangat peramah dan tanpa jemu melayan kerenah pelanggan dan memberi layanan mesra.

Ia antara faktor pelanggan tempatan selesa berurus niaga bersama mereka.

Selain itu, kedai perabot dan karpet sebagai contoh dikendalikan warga Pakistan khususnya mendapat tempat di hati pelanggan tempatan kerana kaedah mereka membenarkan pelanggan membayar secara ansuran.

Ini memberi daya tarikan kepada pelanggan tempatan.

Contoh lain, kedai runcit diusahakan warga Aceh berkembang pesat dan dikatakan menguasai sektor peruncitan di Malaysia lebih-lebih lagi di Lembah Klang.

Kedai Aceh dikatakan lebih lengkap barang jualannya, terutama membabitkan barangan basah berbanding kedai runcit milik peniaga tempatan.

Mereka bergerak dalam satu persatuan komuniti yang sangat kuat, saling menyokong antara satu sama lain.

Lazimnya, masyarakat tempatan kita sentiasa dikaitkan perasaan iri hati dan dengki, walaupun dalam kalangan sendiri.

Ada sahaja cerita kita dengar sikap iri hati sesama peniaga tempatan sampai bertindak menjahanamkan periuk nasi peniaga lain.

Adakalanya sikap seperti inilah yang menyebabkan peniaga tempatan tidak dapat bergerak maju, lantas jumlah kedai milik warga asing mengatasi jumlah kedai peniaga tempatan.

Maka, satu tindakan wajar pada peringkat peniaga tempatan sendiri mengambil nilai positif diterapkan peniaga warga asing dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Namun, tidak dinafikan penguatkuasaan juga harus dilaksanakan lebih ketat. PBT seluruh negara khususnya harus lebih berhati-hati mengeluarkan lesen perniagaan dan menjalankan pemantauan lebih kerap untuk menghalang kemaraan agresif peniaga warga asing ini dan meletakkan hak untuk menjalankan perniagaan kepada yang benar-benar layak dan mengikut saluran sepatutnya. – BERITA HARIAN

 

  • Penulis daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close