Poster GrafikTurun Naik

Reputasi Syarikat Malaysia Lambang Imej Negara Sebagai Tarikan FDI Menyakinkan Pelabur Asing – Penganalisis

Malaysia tidak terkecuali dan menyedari FDI kompenan utama kepada enjin pertumbuhan ekonomi negara

Oleh Ahmad Fauzi Mustafa

Evolusi ekonomi global mula melonjak mempengaruhi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan aliran modal asing yang memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi terutama selepas tsunami COVID-19.

Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini dan menyedari betapa FDI kompenan utama kepada enjin pertumbuhan ekonomi negara bagi meningkatkan pengumpulan modal ekonomi, meningkatkan kecekapan syarikat tempatan dan lebih berdaya saing, berlaku limpahan pengetahuan teknologi dan penambahan modal insan.

Namun agak menarik rakyat Malaysia didedahkan dengan soal reputasi sesebuah syarikat dan imej negara yang dibangkitkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkait rapat dengan perjanjian kerjasama atau persefahaman (MoU) membabitkan FDI bagi negara ini di Dewan Rakyat, baharu-baharu, dilihat seolah-olah tidak digambarkan suasana ekonomi yang sebenar atau realistik ?

Apatah lagi perdagangan FDI ini berurusan dengan kuasa besar ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Republik Rakyat China (RRC), Jepun dan Kesatuan Eropah (EU). Rakyat berhak mengetahui sama ada FDI yang diuar-uarkan itu ada kebenarannya memberi limpahan yang boleh direalisasikan demi kesejahteraan pembangunan ekonomi negara dan rakyat.

Persoalan yang seringkali diungkapkan dalam minda rakyat, adakah perdagangan syarikat antara kedua-dua negara itu bersifat tulen, telus dan berintegriti dari aspek peluang pekerjaan, perkongsian ilmu dan teknologi serta membangunkan kapisiti pelaburan dan aktiviti ekonomi yang diingini ?

Sudah tentunya keterlibatan sesebuah syarikat tempatan, tidak kiralah syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), syarikat swasta bertaraf menengah dan konglomerat atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dilihat ada pencapaian dan kekukuhan kewangan itu antara perkara wajib “track record” yang sangat dituntut dan dinilai.

Lebih-lebih lagi persekitaran perniagaan alaf digital dan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) pada masa ini telah mereformasikan sejauh mana pencapaian atau kejayaan syarikat yang bukan sekadar bergantung kepada aset kewangan atau aset fizikal tetapi kini ditentukan “track record” menerusi modal inteleknya.

Sesebuah syarikat yang cemerlang lagi unggul dari aspek “track record” kekuatan modal intelek terdiri daripada pengetahuan, maklumat, teknologi, hak cipta, pengalaman, pembelajaran organisasi, hubungan dengan pelanggan dan jenama yang membolehkan nilai dicipta untuk organisasi itu sendiri.

Modal intelek membolehkan syarikat mencipta kelebihan bersaing seterusnya membentuk nilai syarikat yang tersendiri malahan diakui sarjana ekonomi Barat menerusi kajian “Intellectual Capital: An Exploratory Study That Develops Measures and Models. Management Decision” yang mengatakan ia adalah sandaran penting bagi kelompok pelabur yang ingin mencipta keuntungan berganda.

Kerana itu, penganalisis percaya cakap-cakap Ahli Parlimen Titiwangsa di Dewan Rakyat, pertengahan Mei lalu, tidak dilontarkan semberono sahaja dalam mempersoalkan ada syarikat Malaysia tidak mempunyai “track record” sekaligus boleh memberi imej negatif kepada kelangsungan FDI yang hendak dibawa masuk ke negara ini.

Pendedahan awal atau maklumat di hujung jari ini amat berguna kepada pemegang saham asing bagi mendapatkan nilai sebenar sesebuah syarikat untuk membuat keputusan berkaitan pelaburan.

Pendedahan lebih banyak mengenai maklumat syarikat mempunyai “track record” cemerlang termasuk modal intelek seperti kepakaran, kemahiran pekerja, teknologi dimiliki syarikat pastinya membolehkan pelabur memberi penilaian lebih baik kepada syarikat.

Maklumat ini berupaya memberi nilai tambah serta kelebihan bersaing kepada syarikat lain apatah lagi berurusan dengan syarikat asing konglomerat yang mempunyai perolehan dan keuntungan berbilion dollar Amerika Syarikat (USD), sekaligus memberi kesan kepada reputasi syarikat dan keupayaan permodalan pasaran sesebuah syarikat menerusi FDI bagi keterlibatan kedua-dua negara.

Agak menarik soal reputasi itu dibangkitkan dan mengapa pula imej itu perlu dipertahankan apatah lagi melibatkan perdagangan sesebuah negara?

Sarjana mentakrifkan imej itu adalah cerminan, bayangan dan gambaran yang terlintas pada fikiran, namun dalam soal perekonomian, imej itu lebih tepat ialah maruah, nama baik, prestij dan tanggapan di mata umum. Imej cemerlang atau unggul bagi negara adalah tercetus melalui reputasi dibina melalui kegiatan “track record” syarikat yang sangat baik dan kompeten. Pelabur asing khususnya melihat produk dan perkhidmatan ditawarkan oleh organisasi adalah dalam pakej lebih menyeluruh.

Reputasi korporat syarikat itu akan menggambarkan potensinya dalam mencapai matlamat, kejayaan, kualiti dan kredibiliti.

Sebab itu, reputasi dan imej sangat berkait antara satu sama lain kerana imej baik dapat menarik perhatian awam atau masyarakat ekonomi global. Apatah lagi, Malaysia adalah satu imej jenama yang tidak ada tolok bandingnya.

Ramai yang ingin berniaga dengan Malaysia. Berdasarkan data pelaburan  diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi tempoh 2017 hingga 2022, jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah penyeliaan MIDA bernilai RM793.2 bilion membabitkan 9,439 projek dan dijangka menjana 494,248 peluang pekerjaan baharu.

FDI kekal sebagai penyumbang utama iaitu sebanyak RM564.4 bilion atau 71.2 peratus manakala pelaburan domestik menyumbang RM228.8 bilion atau 28.8 peratus. Daripada jumlah FDI yang diluluskan bagi tempoh 2017 hingga 2022, RRC atau China adalah pelabur tertinggi dengan jumlah pelaburan bernilai RM143.6 bilion dan pelaburan ini membabitkan 388 projek dan akan menjana sejumlah 62,120 peluang pekerjaan baharu.

Dalam suasana ekonomi sekarang, Malaysia sangat mengalu-alukan aktiviti penggalakan pelaburan bagi memastikan kekal kompetitif, tetapi kadang-kala timbul persoalan yang besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi pelaburan dari China, hanya RM63.6 bilion iaitu bersamaan 44 peratus yang telah direalisasikan.

Maknanya sepanjang tempoh enam tahun itu, sebanyak RM80 bilion bersamaan 56 peratus belum dapat direalisasikan.

Inilah sebenarnya kegusaran atau kebimbangan bekas Menteri Kewangan II yang begitu tegas mempersoalkan apakah faktor-faktor yang menyebabkan projek FDI ini tidak dapat direalisasikan, apatah lagi syarikat yang tidak mempunyai “track record” baik.

Johari juga tidak mengatakan bahawa mana-mana syarikat yang tidak ada “track record” atau berprestasi tinggi tidak boleh menandantangani sebarang MoU, tetapi janganlah syarikat ini dinampakkan seolah-olah mempunyai reputasi tinggi sehingga Perdana Menteri begitu menyakininya.

Atas faktor itu, keprihatinan Ahli Parlimen Titiwangsa perlu diambil berat bahawa reputasi sesebuah syarikat itu membawa kepada imej negara yang perlu dipertahankan nama dan maruahnya.

Seharusnya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi, MIDA dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) perlu meningkatkan daya kompentesi menyaring semua MoU syarikat Malaysia tidak kiralah berdagang dengan negara mana sekalipun untuk dinilai dan ditapis dengan lebih berintegriti menerusi Jawatankuasa Penilaian MoU.

Imej negara merupakan aset bernilai yang perlu diurus oleh sesebuah organisasi. Imej bersandarkan reputasi akan mencernakan peningkatan  hasil jualan produk atau perkhidmatan sesebuah organisasi dan seterusnya meningkatkan kepuasan dan kesetiaan kemasukan setiap FDI dan pelabur asing.

Mungkin sudah tiba masanya, penganalisis beranggapan kerajaan hendaklah melaksanakan pembaharuan berani lagi pantas dalam sistem ekonomi Malaysia yang perlu mempamerkan bagaimana negara ini hendaklah mencari jalan tuntas mentadbir pula Pelaburan Langsung Malaysia Ke Luar Negara (ODI). Perubahan sikap atau minda dalam perekenomian negara sangat dituntut sebagai cara baharu memulihkan ekonomi negara selain aliran FDI dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI).

Sudah tiba masanya Malaysia bukan setakat bergantung kepada FDI China semata-mata sebagai contoh, tetapi perlu menjadi model ekonomi China ODI bagi memberi tumpuan utama dalam kalangan negara dunia ketiga atau negara sedang membangun yang rata-ratanya mempunyai pasaran buruh murah, teknologi rendah dan tidak mempunyai tenaga kerja berkemahiran.

 

Malaysia perlu meletakkan diri sebagai negara sumber pelaburan yang menyakinkan. Lihat sahaja polisi kerajaan China yang berani mengumumkan “Going Out Policy” yang menggalakkan syarikat tempatan mereka berani melabur ke luar negara.

Aliran ODI China mengalami peningkatan bermula dari USD2.855 bilion pada 2002 dan meningkat kepada USD68.81 bilion pada 2010 dan anggaran melebihi USD150 bilion pada penghujung 2021 disebabkan peningkatan lebih 20 kali ganda syarikat tempatan mempunyai “track record”  sangat cemerlang dan berupaya melabur di luar negara.

Malahan pada 2015, jumlah ODI China berjaya melebihi jumlah FDI yang diterima. Rangsangan dalam pelaburan keluar negara ini juga dikaitkan dengan keupayaan dan komitmen kerajaan China dengan mewujudkan persekitaran tepat untuk pelaburan asing dan kapasiti pengeluaran China yang besar, ditambah pula kos buruh rendah dan ekonomi dinamik serta budaya mesra perniagaan, prospek bagi syarikat China dilihat terus positif.

Polisi “Go Global” seperti mana galakan terhadap perusahaan domestik China perlu dicontohi Malaysia. Sebab itu wawasan bekas Menteri Kewangan II ada asasnya bagi tujuan syarikat Malaysia mempunyai “track record” bukan sekadar berupaya menarik minat FDI ke negara ini.

Tetapi sebenarnya menjadikan negara ini berupaya sebagai pelabur global baharu atau menjadi ODI sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara yang membawa kesan limpahan positif menerusi penjanaan peluang perniagaan, pemindahan pengetahuan, kemahiran dan teknologi serta penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan separa mahir kepada rakyat sendiri.

Mungkin dasar seperti Aspirasi Pelaburan Nasional, Pelan Perdagangan Nasional dan Pelan Perindustrian Baharu 2030 perlu dititipkan agenda nasional ODI sebagai ikhtiar rangsangan baharu pertumbuhan ekonomi negara.

  • Penulis ialah Perunding sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik dan bekas Setiausaha Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara dan bekas pegawai penyelidik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close