Duniaku TeknokratPilihan Editor

Siti Hurrairah Pengerusi Wanita Pertama Shell Malaysia

Shell Malaysia mengumumkan pelantikan Siti Hurrairah Sulaiman sebagai Pengerusi Negara berkuat kuasa 1 Januari 2023, wanita pertama yang memegang jawatan berkenaan di Malaysia.

Siti Hurrairah akan menggantikan Datuk Ivan Tan, yang akan memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif, Telaga, bagi Shell Group.

Tan akan berpangkalan di The Hague, Belanda sebaik saja memegang jawatan global berkenaan.

Sebagai Pengerusi Negara Shell Malaysia, Siti Hurrairah akan memantau semua perniagaan Shell Malaysia, selain peranannya sebagai Naib Presiden Kanan bagi perniagaan huluan di negara ini.

Beliau menamatkan pengajian dari Imperial College di London dengan ijazah sarjana muda kelas pertama dalam Kejuruteraan Mekanikal dan memulakan kerjaya sebagai jurutera operasi di Shell Malaysia Upstream.

Pada 2011, beliau dilantik sebagai Pengurus dan Pengarah Aset Malaysia wanita pertama Shell Petroleum Company Limited, bertanggungjawab bagi operasi minyak dan gas huluan Shell di Sabah.

Pada 2015, Siti Hurrairah berpindah ke London sebagai Pengurus Besar Operasi Komersial dalam perniagaan perdagangan dan bekalan Shell, di mana beliau bertanggungjawab terhadap perkhidmatan komersial global Shell Group.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Naib Presiden, Penerokaan Gas Bersepadu Timur, yang bertanggungjawab terhadap pelbagai portfolio Usaha Sama Shell di pelbagai negara di wilayah timur, sebelum memegang jawatan semasa sebagai Naib Presiden Operasi Aset Teknikal, yang menyelia organisasi global besar bagi menyokong aset serta unit operasi merentasi Shell Group. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close