Pilihan EditorTurun Naik

Bajet 2023 Perlu Fokus Murid Tercicir, Pendidikan Masa Depan

Oleh Dr Anuar Ahmad

Ramai tertunggu-tunggu dan teruja dengan tumpuan utama kerajaan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober ini. Tentunya persoalan bajet sektor pendidikan tidak terkecuali.

Masyarakat terutama ibu bapa dan warga pendidikan seperti pentadbir serta guru tentu menanti apakah penekanan utama yang akan diberikan kerajaan dalam konteks peruntukan operasi dan pembangunan pendidikan tahun hadapan?

Pada Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM). Hampir 80 peratus daripada jumlah diterima kementerian yang juga penerima peruntukan terbesar disediakan kerajaan berbanding sektor lain, digunakan bagi tujuan peruntukan mengurus pendidikan, manakala selebihnya untuk pembangunan pendidikan.

Bagi 2023, apakah tumpuan utama bajet negara untuk pendidikan? Mengambil kira pandemik melanda negara sejak Mac 2020, tidak dinafikan persekitaran pendidikan negara terjejas teruk lebih dua tahun.

Kesan kemerosotan penguasaan asas 3M itu, motivasi dan pencapaian pembelajaran murid terbabit ikut merosot, sekali gus menjadikan isu berkenaan perlu dipulihkan segera.

Antara yang mendesak adalah usaha mengenal pasti kumpulan rentan pendidikan dalam kalangan murid sekolah rendah, berpendidikan khas dan individu daripada keluarga miskin serta kawasan pedalaman. Kumpulan ini berhadapan pelbagai cabaran pembelajaran sepanjang pandemik lebih dua tahun.

Sehubungan itu, Bajet 2023 yang akan dibentangkan harus mempunyai serampang dua mata. Pertama, ia perlu mengutamakan program pemulihan semula sistem pendidikan negara untuk memastikan tiada murid tercicir, manakala kedua, wajar mengambil kira peruntukan menjayakan usaha transformasi sistem pendidikan negara.

Lima fokus utama bajet

Bagi mencapai sasaran serampang dua mata ini, kerajaan disaran meletakkan lima fokus utama bajet untuk pendidikan negara bagi tahun depan.

Fokus pertama, menyediakan peruntukan bagi menyelesaikan isu keciciran pembelajaran, meningkatkan kualiti kurikulum, isi kandungan pembelajaran dan kemahiran murid berkaitan ilmu gaya hidup, kerjaya serta komuniti lestari.

Fokus ini menuntut KPM melakukan semakan semula kepada komponen kurikulum sekarang, sekali gus melakukan penambahbaikan kurikulum selari dengan keperluan murid untuk masa depan.

Kanak-kanak ini memerlukan ilmu dan kemahiran sesuai dengan cabaran masa depan. Misalnya, mereka memerlukan ilmu asas celik keselamatan teknologi maklumat (IT) dan celik pengurusan kewangan.

Golongan itu juga memerlukan kemahiran berkaitan kerjaya masa depan dan bagaimana untuk bersosialisasi dalam komuniti masa kini serta pada masa sama menyemak semula dan memansuhkan isi kandungan kurikulum lama.

Fokus kedua, peruntukan pendidikan diperlukan bagi menyediakan persekitaran sekolah inklusif, adil, selamat dan sihat untuk kesejahteraan semua murid.

KPM memerlukan peruntukan khusus untuk menyelesaikan isu sekolah daif terutama di pedalaman, sekolah kurang murid (SKM) di luar bandar dan sekolah sesak murid di kawasan bandar.

Malah, adalah penting untuk KPM memastikan semua sekolah berada dalam keadaan selamat dan menyejahterakan murid serta guru.

Fokus ketiga, menyediakan sejumlah peruntukan untuk tujuan mempertingkatkan profesionalisme, kecekapan dan kemahiran pengajaran guru melalui skim latihan pedagogi dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Perubahan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu menuntut guru meningkatkan kemahiran pedagogi mereka dalam persekitaran pengajaran baharu. Amalan pengajaran berasaskan teknologi pendidikan kini sudah menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan.

Fokus keempat bajet pendidikan adalah untuk menjayakan pembangunan pendigitalan pendidikan secara inklusif, seterusnya mentransformasikan amalan pembelajaran murid.

Penyediaan prasarana internet, skim pemilikan peranti untuk guru dan murid perlu disediakan dalam bajet pendidikan untuk tahun depan. Malah portal Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) juga perlu dipertingkatkan sebagai hab utama pembelajaran murid.

Guru juga perlu disediakan kemudahan untuk menyediakan bahan pembelajaran dalam talian yang boleh digunakan bukan sahaja oleh murid di sekolah mereka tetapi juga dikongsikan dengan murid lain di seluruh negara.

Bagi menjayakan empat fokus utama di atas, adalah penting untuk turut memberikan tumpuan kepada fokus kelima, iaitu usaha meningkatkan kecekapan, integriti dan urus tadbir peruntukan pendidikan bagi tahun depan serta seterusnya.

Kecekapan dalam membuat keputusan dengan melihat kepada keutamaan pendidikan adalah sangat diperlukan. Begitu juga dengan perlu budaya dan amalan integriti diberikan penekanan lebih besar agar peruntukan disediakan dapat digunakan sebaik mungkin demi kebaikan murid. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close