Governans

Bajet 2023 Disemak Ambil Kira Kos Sara Hidup, Inflasi

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan beberapa rasionalisasi dalam perbelanjaan operasi kerajaan manakala pendekatan yang lebih disasarkan terhadap subsidi mungkin dilaksanakan dalam Bajet 2023 yang disemak semula.

“Memandangkan kos sara hidup yang masih tinggi dan tekanan inflasi, pelarasan itu mungkin akan dilakukan secara beransur-ansur,” katanya dalam nota penyelidikan bertajuk ‘Global Economics and Market Strategy’ yang diterbitkan, hari ini.

Bank pelaburan itu juga berkata, potensi semakan semula peruntukan perbelanjaan pembangunan mungkin boleh dilakukan terutamanya bagi projek baharu dan sedia ada yang masih belum memulakan proses tender.

“Sebarang perubahan besar pada Bajet 2023 mungkin mempunyai kesan ketara pada unjuran defisit fiskal negara. Kami mengekalkan unjuran defisit fiskal 2023 pada 5.5 peratus bagi pertumbuhan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) buat masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, belanjawan itu tidak dibahaskan kerana Parlimen dibubarkan tiga hari kemudian, pada 10 Oktober untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

Pada 5 Disember, Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan pusat akan membentangkan usul pembayaran emolumen bagi 2023 di Dewan Rakyat pada 19 Disember dan Bajet 2023 akan disemak semula.

“Saya berpandangan bahawa kebanyakannya boleh diterima,” kata Perdana Menteri.

Melangkah ke 2023, RHB IB berkata, ia optimistik tetapi berhati-hati mengenai unjuran ekonomi negara dan mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun depan sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun kerana ia menjangkakan pertumbuhan itu disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

Ia juga mengekalkan unjuran inflasi indeks harga pengguna untuk 2023 pada tiga peratus tahun ke tahun, didorong oleh momentum pertumbuhan ekonomi, prospek subsidi bahan api dan pergerakan harga komoditi.

Bank pelaburan itu mengekalkan julat unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 hingga 3.5 peratus untuk 2023, disokong oleh faktor seperti ekonomi domestik yang kukuh, tekanan inflasi yang berdaya tahan serta subsidi bahan api. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close