Pengerusi Jawatankuasa Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan hukuman penjara dua tahun terhadap bekas pegawai tinggi Goldman Sachs, Tim Leissner oleh mahkamah di Amerika Syarikat (AS) adalah ringan kerana tidak setimpal dengan skala berat jenayah dilakukannya.
Dalam kenyataan hari ini, Johari berkata hukuman terlalu ringan berisiko menghantar mesej yang salah kepada institusi global seperti Goldman Sachs yang sepatutnya diberi kepercayaan untuk menjaga kepentingan negara berdaulat.
Menurut Menteri Perdagangan dan Komoditi itu, hukuman itu bukan mencegah salah laku sebaliknya mereka membenarkan perbuatan itu berlaku sehingga Malaysia terpaksa menanggung kerugian dari segi kewangan dan reputasi.
“Leissner salah seorang dalang dalam salah satu skandal kewangan paling serius di dunia, yang mengakibatkan penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB.

Masih ada pertikaian dengan Goldman Sachs bernilai AS$1.4 bilion
Hingga kini, Johari berkata masih wujud pertikaian yang belum diselesaikan dengan Goldman Sachs berkaitan jaminan pemulihan aset 1MDB berjumlah AS$1.4 billion.
Katanya ia berdasarkan perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 2020.
“Perkara ini masih dalam proses timbang tara. Ini hanya menambahkan kekecewaan rakyat dan mengukuhkan persepsi bahawa individu berpengaruh boleh terlepas dengan hukuman yang minimum,” katanya.
Memetik laporan Reuters hari ini, Leissner dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York semalam, selaku antara yang berperanan penting dalam skandal berbilion dolar membabitkan dana 1MDB.
Leissner turut menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas peranannya dalam skandal 1MDB. – BH ONLINE




