MalaysiaPilihan Editor

Syor Tiada Pertandingan Jawatan Tertinggi Dalam UMNO Menutup Demokrasi Dalam Parti – Johari

UMNO tak patut menutup demokrasi dalam parti itu dengan mengesyorkan supaya sesuatu jawatan tertinggi tidak ditandingi mana-mana ahli atau pemimpinnya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata UMNO wajar memberi hak kepada ahlinya untuk mengundi dan membuat keputusan dalam memilih barisan pemimpinnya.

“Kita kena praktis dalam UMNO ini bahawa kita mesti beri kepada semua ahli kita peluang untuk membuat keputusannya. Kerana ini adalah ‘training ground’.

“Budaya mahu cerita jangan (tanding) sini, jangan (tanding) sana, tak boleh dah. Walaupun ada orang ikut, tapi dalam hati itu dia pun sebenarnya tak boleh nak ikut.

“Tengok parti lain, PKR, DAP, PAS dia jalan (pemilihan) dulu, bergasak…dia bergasak juga, tapi akhirnya apa jadi? dia (Pakatan Harapan) menang 82 kerusi, PN ada partinya yang dapat 49 dari 74 kerusi Parlimen.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Ekslusif Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang disiarkan menerusi FB Live UMNO Online hari ini.

Kenyataan Johari itu hadir di sebalik sidang media malam tadi yang mendakwa seramai 140 ketua UMNO bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, dalam sidang medianya itu menjelaskan, ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebenarnya tak jadi masalah kalau ikhlas (mahu bertanding), jangan main politik wang. Undi ini biar ahli kita belajar macam mana mengundi tanpa dipaksa mana-mana pihak.

“Kalau dia ini menang silakan terus (berkhidmat), esok kalau tak boleh lagi memimpin, bagi orang lain, sebab pemimpin datang dan pergi,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Sementara itu, ketika ditanya pengacara program berkenaan sama ada beliau akan merebut jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini, Johari memberi bayangan akan bertanding salah satu dari tiga jawatan tertinggi parti.

“Soal jawatan apa saya nak bertandig, kena tunggu bila pertandingan ini. Bila diumumkan pemilihan, nanti kita buatlah keputusan sama ada bertanding presiden ke, timbalan presiden ke, naib presiden ke, yang penting perkataan presiden itu ada.

“Kita kena semarakkan konsep berdemokrasi dalam parti. Kita kena buat benda ini sebelum kita berdepan dengan PRU 2027,” katanya yang sebelum ini pernah merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 2018, namun tewas. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close