ADAM (kiri) bersama rakan kongsinya, Syukri ketika pembukaan Kleanix. FOTO Ihsan Kleanix
Sebagai seorang pelajar dan penggemar kasut tegar, Adam sering menghadapi masalah dalam menjaga kebersihan koleksi kasutnya.
“Saya suka mengumpul kasut, tapi dengan kesibukan belajar dan bekerja, sukar untuk saya menjaga dan mencuci kasut-kasut ini sendiri,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelaburan ini kepada BH Online, baru-baru ini.
Masalah ini mendorong Adam untuk mencari perkhidmatan cucian kasut di sekitar Shah Alam, namun kecewa apabila mendapati tiada kedai yang khusus menawarkan perkhidmatan sedemikian.
“Kos permulaan rendah, hanya perlu berus, sabun khas, dan air. Ini menjadikan ia mudah untuk kami mula walaupun hanya dari rumah,” katanya.
Dari situ, lahirlah jenama Kleanix, yang kini semakin dikenali dalam industri cucian kasut di Malaysia.
Kleanix menawarkan pelbagai perkhidmatan cucian yang disesuaikan mengikut jenis material kasut, termasuk Express Cleaning (RM19.90) untuk kasut kanak-kanak dan kasut wanita, Standard Cleaning (RM29.90) untuk cucian luar kasut dewasa, dan Deep Cleaning (RM49.90) yang membabitkan cucian menyeluruh dalam dan luar kasut.
Setiap perkhidmatan ini diuruskan dengan teliti untuk memastikan kasut pelanggan sentiasa dalam keadaan terbaik selepas dicuci.
Adam menyatakan bahawa kebanyakan pelanggan mereka datang melalui promosi dalam talian, di mana mereka dibawa ke halaman WhatsApp Kleanix untuk berinteraksi dengan pasukan jualan.
“Ada yang pos kasut mereka kepada kami, dan ada juga yang menggunakan khidmat Lalamove untuk menghantar kasut ke kedai kami,” tambahnya.
Dalam masa yang singkat, Kleanix berjaya mencuci lebih 15,000 pasang kasut sejak ditubuhkan pada 2021.
Walaupun Kleanix mencapai pelbagai kejayaan dan berkembang dengan pesat, perniagaan ini tetap tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran.
Adam berkata, satu isu utama yang dihadapi adalah kekangan kewangan untuk mengembangkan perniagaan.
“Permintaan semakin meningkat, tetapi sumber kewangan kami terhad untuk membuka lebih banyak cawangan.
“Kami memerlukan masa untuk memenuhi permintaan pelanggan di luar Shah Alam,” katanya.
Visi Klenix adalah untuk menjadi jenama terkemuka dalam perkhidmatan cucian dan penjagaan kasut di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh lima tahun.
Dalam masa 10 tahun, mereka berharap dapat membuka cawangan di seluruh Malaysia.
Adam yakin industri cucian kasut di Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang, seperti yang dilihat di negara jiran, Indonesia, di mana kedai-kedai cucian kasut tumbuh dengan pesat dan mempunyai pelanggan setia.
Untuk mendapatkan khidmat cucian kasut, ikuti akaun media sosial Kleanix di TikTok. – BH ONLINE