Kedai Runcit

Shopee Bantu Peniaga Durian

Pertengahan tahun ini menandakan ketibaan musim durian, bagaimanapun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan kadar hasil yang lebih rendah iaitu di bawah 300,000 tan berikutan taburan hujan yang tinggi dan isu tenaga manusia disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun menghadapi cabaran, FAMA menjangkakan 2020 akan menjadi tahun yang optimistik bagi industri durian yang mempunyai permintaan yang paling besar di peringkat domestik serta antarabangsa, khususnya dari Singapura dan China.

FAMA menggalakkan peserta industri durian untuk menggunakan e-dagang bagi menambah jualan, terutamanya dengan persekitaran norma baharu dengan peningkatan pembeli dalam talian khususnya peminat buah itu yang mahu menikmati keenakan rasanya dari perlindungan kediaman mereka.

Penggemar durian juga dikesan mencari buah itu secara dalam talian apabila platform e-dagang, Shopee mengesan kata kunci ‘Durian’ menjadi trend dalam carian di platform tersebut.

Menurut Shopee, platformnya telah menarik minat penanam durian dari seluruh negara apabila ada yang mula menawarkan hasil D24, Musang King, XO, Hor Lor, Udang Merah ke dalam talian.

Ramai yang menjadi kreatif dengan kempen mereka sendiri seperti ‘Duduk Rumah, Makan Durian’.

Bagaimanapun, adakah pencinta durian mampu menikmati rasa yang sama seperti membeli dari gerai atau makan langsung di kawasan tanaman itu?

Pengasas Bersama dan Pengurus Perniagaaan Shan Cheng Durian Pulau Pinang, Leow E Shuen berkata terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan apabila memasuki ke dalam talian.

“Kesegaran durian adalah salah satu daripadanya.

“Untuk memastikan bahawa pelanggan kami menerima kualiti yang terbaik, kami akan mengumpul durian dari ladang pada sebelah pagi, buka dan bungkus semula secara vakum ke dalam kotak dan dihantar pada hari yang sama.

“Dengan banyak penjual dalam talian yang bersaing untuk jualan, akhirnya mereka yang mampu menawarkan kualiti, perkhidmatan dan harga yang berpatutan akan berjaya memenangi minat pembeli,” kata Leow.

Beliau berkata PKP yang bertujuan menangani pandemik COVID-19 telah memberi kesan ke atas urusan jual beli syarikat itu malahan, jumlah pelancong yang datang ke ladang berkeluasan 5.3 hektar syarikatnya di Balik Pulau, Pulau Pinang turut jatuh menjunam.

Sebuah lagi syarikat durian, Mountain Cat Durian, menyaksikan penjualan produk diproses daripada durian seperti lapis durian dan ais krim menyusut sebanyak 50 peratus disebabkan oleh pandemik.

Ini disebabkan oleh permintaan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang rendah dari kedai roti dan kek termasuk peniaga makanan serta minuman.

Selain jualan yang agak merundum, syarikat dari Puchong yang memiliki dusun durian berkeluasan 8.8 hektar (20 ekar) di Broga, Negeri Sembilan terpaksa menanggung perbelanjaan overhed seperti komitmen buruh dan kilang.

“Dengan jualan dan B2B kami terjejas akibat kos yang meningkat, kami menyedari bahawa perlu untuk kami meneroka model perniagaan dalam talian bagi mengekalkan perniagaan termasuk memastikan durian kami tidak menjadi sisa sampah.

“Sebelum menjual dalam talian, kami hanya menerima beberapa pesanan dalam sebulan. Bagaimanapun, melalui Shopee, kami telah menerima pesanan hampir setiap hari.

“Apa yang berlaku sekarang ini benar-benar membuka mata kami, ia menunjukkan tidak wajar untuk kami berasa selesa dengan pendekatan tradisional kami tetapi mengabaikan dunia digital,” kata pengasas Mountain Car, Ma Tuck Mun, pulpa durian Musang King syarikat itu, sekarang antara yang paling menerima banyak pesanan di Shopee.

Bagi membantu penjual durian dan membantu rakyat Malaysia menikmati buah itu, Shopee akan menampilkan Shan Cheng Durian serta Mountain Cat bersama dengan 500 penjual durian termasuk buah-buah lain dalam jualan 6.6 Super Sale yang sedang berlangsung sekarang sehingga 6 Jun depan.

Pengarah Urusan Wilayah Shopee, Ian Ho menjelaskan semasa kempen itu, durian akan dijual pada harga RM0.66 melalui Shocking Sales dengan tambahan diskaun 10 peratus di kedai untuk penjual terpilih.

“COVID-19 telah memberi impak melangkaui kesihatan.

“Ia telah menghalang kami daripada aktiviti yang paling digemari iaitu menikmati kelazatan durian bersama rakan dan keluarga. Bagaimanapun, ia tidak bermakna aktiviti seperti ini tidak boleh diteruskan.

“Dengan lebih banyak penjual memasuki ke dalam talian, rakyat Malaysia boleh mendapatkan buah kegemaran mereka untuk dinikmati secara lebih selamat di rumah.

“Tambahan pula, penjual tempatan memerlukan sokongan rakyat Malaysia demi kesejahteraan ekonomi negara.

“Itulah sebabnya mengapa selain menampilkan mereka dalam kempen 6.6 Super Sales, Shopee komited untuk mengekalkan platform kami agar berkos efektif.

“Kami juga mahu penjual-penjual ini mampu memenuhi pesanan mereka termasuk pembekalan, pembungkusan dan logistik sebelum menjual.

“Kami faham ini mungkin menyulitkan bagi penjual yang baru memasuki ke talian dan oleh itu, kami menyediakan pasukan khusus bagi membantu mereka. Pasukan ini boleh dihubungi pada https://tiny.cc/shopeefresh,” kata Ho.

Untuk lebih penjimatan ke atas pelbagai jenis produk, penawaran akan bermula dari hanya RM0.66 termasuk penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM16 serta baucer harian RM6 melalui kempen 6.6 Super Sales.

Kempen ini turut menampilkan acara langsung dengan hiburan oleh oleh penyanyi dari Taiwan seperti Alien Huang, Emma Wu, Tiffany Hsu, Sam Tseng dan Blaire Chang serta bintang tempatan yang terdiri daripada Nabila Razali, Pongpong, Shalma Eliana dan Yonnyboii.

Sesi ini akan memuncak dengan penampilan ratu pop Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 6 Jun.

Pengguna juga berpeluang bermain Shopee Poly, Shopee Treasure Box, Shopee Catch, Flip & Match dan banyak lagi. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close