Industri pusat data dilihat berpotensi menjadi sumber nilai ekonomi baharu kepada Malaysia apabila tenaga elektrik yang dijana dalam negara ditukar kepada kapasiti pengkomputeran untuk digunakan pemain luar negara.
Pengarah Urusan Open DC Sdn Bhd, Wong Weng Yew, berkata model itu membolehkan sumber tenaga tempatan dimanfaatkan bagi menyediakan kapasiti pengkomputeran kepada pelanggan antarabangsa, sekali gus berpotensi menjana pendapatan daripada pemain luar negara.
“Dalam satu cara, ia adalah eksport tenaga. Apa yang kita lakukan adalah mengambil tenaga elektrik yang dijana di Malaysia dan menukarkannya kepada kapasiti pengkomputeran.
“Kemudian, kita menarik pemain asing untuk menggunakan kapasiti pengkomputeran ini dan apabila mereka menggunakannya, secara tidak langsung mereka membayar menggunakan dolar AS.
Apa yang hakikatnya sedang kita jalankan adalah perniagaan eksport tenaga. Semakin banyak tenaga yang dapat kita tukarkan menggunakan tenaga boleh baharu, semakin tinggi nilai yang boleh kita jana untuk ekonomi,” katanya.
Tambah Wong, lebih 90 peratus perniagaan Open DC ketika ini datang daripada pemain luar negara, menunjukkan potensi pusat data sebagai platform untuk menarik aktiviti ekonomi antarabangsa ke Malaysia.
Pembangunan tenaga boleh baharu di utara Malaysia juga boleh menyalurkan dana asing ke kawasan yang kurang membangun serta menyokong aktiviti ekonomi tempatan.
Katanya, pertumbuhan industri berkenaan turut mewujudkan kesan limpahan kepada sektor lain, khususnya tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga serta penyedia perkhidmatan dan teknologi tempatan.
Dalam masa sama, katanya, Open DC mahu memastikan pembangunan industri itu turut meningkatkan keupayaan vendor tempatan melalui kerjasama dengan pembekal teknologi global.
“Kita memilih vendor tempatan untuk mengendalikan sistem yang canggih. Pembekal peralatan global membawa teknologi mereka tetapi kita mahu mereka bekerja bersama vendor tempatan dan memindahkan pengetahuan kepada mereka.
“Pendekatan itu penting bagi membangunkan kepakaran tempatan dalam teknologi pusat data, termasuk sistem penyejukan berkecekapan tinggi yang diperlukan dalam iklim tropika Malaysia,” katanya.
Open DC kini mengendalikan enam pusat data di empat negeri, termasuk D8-1 di Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan PE2 di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
PE2, yang beroperasi sejak April 2025, dirancang meningkatkan kapasiti kuasa kritikal daripada 30 megawatt (MW) secara berperingkat sehingga 100MW mengikut permintaan dan kontrak pelanggan, manakala hampir 80 peratus kapasiti fasa awal 30MW sudah ditempah.
D8-1 pula dibangunkan sebagai kemudahan pusat data yang menyokong kesalinghubungan rentas sempadan, khususnya bagi trafik data antara Malaysia, Thailand dan rantau Indochina.
Wong menjelaskan, meskipun pusat data adalah industri berintensif modal dan tidak semestinya menawarkan jumlah pekerjaan langsung yang besar, kesan ekonominya perlu dilihat melalui rantaian aktiviti lebih luas merangkumi tenaga, teknologi, vendor dan perkhidmatan sokongan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan Malaysia memanfaatkan sumber tenaga tempatan bukan hanya untuk kegunaan domestik, tetapi turut menarik aktiviti ekonomi daripada pemain antarabangsa melalui kapasiti pengkomputeran yang dibangunkan dalam negara. – BH ONLINE




