Malaysia dukacita dan kesal dengan masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mampu menghentikan keganasan rejim Israel ke atas Palestin.
Sungguhpun begitu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Malaysia akan terus berusaha menyeru komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB bertindak segera, bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.
“Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat.
“Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi, dan moral,” katanya melalui perutusan khas mengenai Palestin, hari ini.
Muhyiddin berkata, serangan Israel ke atas Palestin tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.
“Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.
Katanya, Malaysia menyokong penyelesaian adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’ berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.
“Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka akan berlangsung esok.
“Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) untuk menyertai mesyuarat berkenaan bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin,” katanya. – BH ONLINE