GovernansMalaysiaPilihan Editor

Anwar Jelaskan Prestasi Ringgit, Tak Boleh Samakan Dengan Keadaan 1998

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan, situasi ekonomi Malaysia ketika ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada 1998 kerana kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik walaupun mata wang tempatan sedang melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata pada 1998, selain daripada kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran meningkat dan tiada pelaburan asing masuk dalam negara.

“(Berbeza) ketika ini, ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.

“(Malah) pertumbuhan (ekonomi negara) adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX) yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada tempoh hari, maklum balas beliau adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) sepatutnya mengeluarkan kenyataan penting mengenai pelaburan dan perdagangan dan Gabenor BNM mengeluarkan kenyataan mengenai ringgit.

“Dan saya dikritik kerana berkata sedemikian. Ringgit ada kesan dia dan saya tidak mahu mengatakan tidak harus dipantau oleh BNM, tetapi eksport itu baik kerana saya jumpa syarikat pengeksport, dia sangat senang tetapi sebaiknya ringgit itu agak terkawal.

“Tetapi mengapa harus dilihat hanya dari segi ringgit dan dibandingkan dengan 1998, kerana seperti mana yang saya sebut tadi ringgit jatuh, pelaburan jatuh, inflasi naik jadi tidak sama.

“Sekarang ini, angka terakhir bagi pelaburan kita yang diumumkan semalam selepas mesyuarat Majlis Pelaburan Negara tertinggi dalam sejarah pelaburan Malaysia.

“Kalau keyakinan (pelabur) itu kurang kerana ringgit, ia tidak akan ada pelaburan tertinggi ini dalam sejarah.

“Dan semalam mesyuarat pelaburan, hari ini (pelancaran) TRX dan petang ini Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan kita akan terus pantau hari-hari termasuk kos sara hidup kerana dalam perbincangan apa pun kita harus beri tumpuan kepada kesan kehidupan rakyat,” katanya.

Setakat jam 12.15 tengah hari ini, ringgit diniagakan pada 4.775 berbanding dolar AS, menurut laman web BNM. – BH ONLINE

 

 

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close