Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

Aset Wakaf Di Malaysia Dianggar Lebih RM1.3 Trilion

Aset wakaf di Malaysia dianggarkan bernilai lebih RM1.3 trilion, namun belum diterokai sepenuhnya untuk memacu pembangunan sosio ekonomi negara.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata potensi besar wakaf yang belum diterokai itu menyediakan peluang kepada mereka yang ingin melabur dalam instrumen atau produk berkaitan wakaf.

“Berdasarkan statistik Yayasan Wakaf Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di Jabatan Perdana Menteri, hanya 13 peratus atau kira-kira 30,000 hektar tanah wakaf di negara ini dimajukan dan secara tradisinya diperuntukkan kepada institusi atau sekolah agama.

“Kadar penggunaan yang rendah menunjukkan potensi besar wakaf yang belum diterokai dalam memangkin pembangunan sosioekonomi, selain pelaburan yang berpotensi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pasaran Modal Islam dan Wakaf di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pemegang Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh.

Awang Adek berkata, nilai aset wakaf di seluruh dunia dianggarkan berjumlah AS$100 bilion (RM453.96 bilion) hingga AS$1 trilion (RM4.54 trilion).

Katanya, anggaran itu menjadikan kewangan sosial Islam sebagai sumber pembiayaan yang berpotensi untuk menangani jurang pembiayaan kemampanan, yang dianggarkan lebih daripada AS$1.7 trilion (RM7.72 trilion) setiap tahun.

“Menyedari kesan positif wakaf, SC mula mempromosikan pembangunan wakaf melalui pasaran modal Islam dengan menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Aset Wakaf: Pembangunan, Tadbir Urus dan Peranan Pasaran Modal Islam pada 2014’.

“SC juga melancarkan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (atau Rangka Kerja Sukuk SRI). Rangka kerja ini mengiktiraf dan memasukkan pembangunan wakaf sebagai projek yang layak untuk terbitan Sukuk SRI.

“Ini diikuti dengan keluaran Pelan Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam (IFWMBP) pada 2017, yang menggariskan strategi SC dalam mempromosikan pembangunan aset wakaf melalui skim pelaburan kolektif Islam,” katanya.

Bagi melancarkan lagi strategi itu, beliau menjelaskan, SC memperkenalkan Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf (Rangka Kerja WQ-FF) yang membolehkan pelabur menyalurkan sebahagian atau semua dividen daripada unit amanah dan dana borong kepada projek amal atau kebajikan dalam bentuk wang tunai.

“Tahun lalu, angka kerja ini telah diperluaskan untuk memasukkan Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT) dan ETF Islam, untuk memperdalam dan meluaskan lagi pilihan produk dalam segmen ini.

“Kami gembira dengan perkembangan setakat ini. Ia menunjukkan Rangka Kerja WQ-FF telah dapat mempromosikan kerjasama yang lebih besar antara Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Terdapat peningkatan dalam usaha semua pihak dalam meneroka dan mengenal pasti potensi pembangunan aset wakaf,” katanya.

Awang Adek berkata, sejak pelancaran Rangka Kerja WQ-FF, sejumlah enam dana berasaskan wakaf diperkenalkan dengan dana agregat yang diperoleh setakat Disember 2022 berjumlah RM46.7 juta.

“Bagi terus menggalakkan penerbit dan pelabur, SC juga mengembangkan Sukuk SRI dan Skim Pemberian Bon pada 2021 untuk meliputi semua sukuk di bawah rangka kerja SRI, termasuk sukuk yang dikeluarkan untuk pembangunan aset wakaf.

“Secara kolektif, insentif ini bersama-sama dengan campur tangan pengawalseliaan kemudahan oleh SC menggalakkan penyertaan dan kerjasama yang lebih besar dalam pembangunan aset wakaf,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close