Pilihan EditorTurun Naik

Graduan Usahawan Perlu fleksibel Urus Perniagaan

Oleh Dr Noorul Azwin Md Nasir

 

Kerajaan dan universiti menggalakkan mahasiswa untuk menjadikan usahawan sebagai kerjaya, tidak hanya mencari pekerjaan seperti biasa.

Harus diingat, usahawan tidak dapat mengusahakan perniagaannya sendirian, sebaliknya perlu menggaji pekerja untuk meneruskan kelangsungan operasi dan mengembangkan perniagaan.

Mereka bukan hanya semata-mata usahawan muda belia, sebaliknya menjadi majikan mempunyai tanggungan dan bertanggungjawab terhadap pekerja. Kemahiran menguruskan pekerja pula hanya boleh digarap melalui pengalaman, bukan buku dan teori semata-mata.

Graduan usahawan perlu mendalami ilmu dan peraturan berkaitan tenaga buruh antaranya peraturan gaji minimum, waktu kerja serta keselamatan di tempat kerja.

Apabila menjadi majikan, usahawan perlu meletakkan kebajikan pekerja mendahului diri sendiri.

Sebagai majikan, graduan usahawan berhadapan staf yang mempunyai pelbagai sikap dan kerenah. Selagi mana pekerjanya dapat melunaskan tugas diberi dengan baik, tentu majikan akan lega.

Apatah lagi sekiranya pekerja dibayar gaji, tidak melunaskan tugasan seperti diharapkan majikan. Sejauh manakah mereka bersedia menghadapi cabaran dalam konteks pengurusan sumber manusia?

Proses pembuatan keputusan membabitkan aspek kemanusiaan bukan mudah, terutama bagi graduan usahawan yang mungkin menggaji pekerja lebih berpengalaman dalam skop kerja diberikan.

Pendapatan hasil perniagaan bukan lagi milik mutlak, sebaliknya ia perlu digunakan sebagai bayaran kepada pembekal, gaji pekerja, belanja overhed dan pelbagai tanggungan bulanan.

Bukan mustahil ada ketikanya, pendapatan bersih majikan jauh lebih rendah daripada pekerjanya. Ada juga situasi majikan perlu menggadaikan harta peribadi untuk memastikan tanggungan perniagaan dapat dilangsaikan.

Berdasarkan cabaran itu, sejauh manakah graduan usahawan bersedia menjadi majikan?

Hakikatnya, menguruskan sumber manusia atau modal insan bukanlah mudah kerana tiada satu teori pengurusan manusia dapat dipakai untuk semua situasi. Justeru, mereka perlu bersikap fleksibel untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Malah, usahawan tidak boleh lari daripada memberikan perhatian kepada perniagaan dan bagaimana menjadi majikan yang baik.

Apa yang penting, graduan usahawan perlu sentiasa sedia belajar untuk berdepan cabaran menguruskan perniagaan, termasuk pengurusan modal insan dalam organisasinya.

 

  • Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close