Ekonomi Islam & Global

Majoriti Ekonomi Asia Menguncup Pada Suku Kedua

Hampir keseluruhan ekonomi negara Asia menguncup pada suku kedua disebabkan oleh impak pandemik COVID-19, meskipun kebanyakannya tidak melaksanakan perintah berkurung menyeluruh seperti Malaysia.

Negara Asia yang mencatatkan prestasi ekonomi kurang memberangsangkan dalam tempoh April hingga Jun tahun ini termasuk Jepun yang menguncup 27.8 peratus, Filipina (-16.5 peratus), Singapura (-13.2 peratus), Thailand (-12.2 peratus), Indonesia (-5.3 peratus) dan Korea Selatan (-3.3 peratus).

Situasi ini turut mencerminkan ekonomi bagi tahun penuh 2020 kebanyakan negara Asia akan terus terjejas jika pandemik COVID-19 tidak menunjukkan tanda pemulihan.

Timbalan Pengarah, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata walaupun kebanyakan negara Asia mencatatkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), petunjuk utama pertumbuhan ekonomi Asia sebenarnya terletak pada prestasi ekonomi China.

Beliau berkata, China yang juga negara yang menjadi pencetus COVID-19 serta yang pertama melaksanakan perintah berkurung akhir tahun lalu, merekodkan pemulihan selepas ekonominya dibuka apabila mencatatkan pertumbuhan 3.2 peratus pada suku kedua lalu, berbanding penguncupan 6.8 peratus pada suku pertama.

Katanya, walaupun Jepun mencatatkan penguncupan pada suku kedua, sumber utama pertumbuhan ekonomi yang datang dari Asia kepada ekonomi global pada ketika ini dan pada masa hadapan bukanlah dari negara itu meskipun ia masih lagi dilihat sebagai satu daripada ekonomi utama rantau ini.

“China adalah sumber utama kerana sebahagian besar ekonomi di Asia dan juga dunia bergantung dengan ekonomi negara tembok besar itu dari segi perdagangan, pasaran eksport, pemindahan teknologi dan juga rantaian penawaran global. Malaysia juga satu negara terbuka yang mempunyai hubungan erat dengan China dari segi ekonomi dan perdagangan berbanding Jepun.

“Oleh itu, kesan kejatuhan pertumbuhan ekonomi Jepun, Thailand dan Singapura ini dilihat akan memberikan kesan yang minimum kepada prospek pemulihan ekonomi negara pada separuh kedua tahun ini dan seterusnya pada 2021. Kejatuhan ekonomi negara terbabit juga sudah dijangka dan sudah pun diambil kira dalam menilai prospek ekonomi Malaysia pada masa hadapan,” katanya kepada BH.

Menuju ke hadapan, Irwan Shah berkata, Malaysia boleh bekerjasama dengan Thailand dengan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN dengan menumpukan kepada penghapusan halangan bukan tarif sesama negara anggota ASEAN.

“Bagi Malaysia dan Jepun pula, peningkatan dalam aktiviti perdagangan pada masa hadapan boleh ditingkatkan melalui pemeteraian Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan juga Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Ini akan memberikan satu kerangka positif dan bersifat menang-menang dalam hubungan multilateral antara negara utama Asia pasca COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan pulih daripada penguncupan ekonomi, kerajaan perlu menumpukan kepada projek pemangkin ekonomi melalui Belanjawan 2021.

Beliau berkata, pelaburan sektor swasta diperlukan untuk membantu ekonomi negara terus bangkit pada separuh kedua 2020.

“Pelaburan seperti dalam pembuatan, sarung tangan, e-dagang dan logistik perlu dipertingkat bagi membolehkan negara membina penguasaan pasaran global.

“Seperti Jepun, kita juga cukup bergantung kepada perdagangan dunia, dengan kebergantungan sebanyak 130 peratus dari KDNK.

“Penguncupan ekspot bersih Malaysia 38.7 peratus menunjukan rantaian bekalan terjejas teruk. Namun langkah kerajaan mengadakan pelan pemulihan ekonomi menunjukkan langkah yang serius untuk membantu ekonomi dijana semula,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close