Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dibentangkan hujung bulan ini dijangka memberi tumpuan besar terhadap usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk menaikkan gaji minimum kepada lebih RM2,000 menjelang 2030 dan memperkukuh pasaran pekerjaan melalui pelbagai projek pembangunan strategik, kata penganalisis.
Rancangan lima tahun yang meliputi garis masa 2026 hingga 2030 itu dijangka menempuh persekitaran mencabar berikutan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi serta potensi turun naik tidak menentu dasar perdagangan dan ekonomi AS.
Malah, ketegangan geopolitik di Eropah dan Asia Barat juga dijangka berterusan sehingga separuh dekad akan datang.
Dengan latar belakang perdagangan global yang rapuh itu dan sentimen risiko yang tinggi, harga komoditi juga dijangka kekal secara amnya pada paras semasa sekurang-kurangnya sehingga 2029.
Ia mungkin termasuk pelarasan gaji untuk penjawat awam dan potensi kenaikan gaji minimum kepada melebihi RM2,000 menjelang 2030.
Pada masa sama, pelancaran latihan berterusan dan inisiatif peningkatan kemahiran boleh meningkatkan bahagian tenaga kerja mahir dalam tenaga kerja kepada lebih 35 peratus, yang boleh melonjakkan gaji median negara melebihi RM4,000 menjelang 2030,” katanya dalam laporan bertajuk ‘Preview of 13th Malaysia Plan – Sailing Thru Choppy Waters’.
BIMB Securities menjangkakan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus setahun antara 2026 dan 2030 susulan keadaan luaran dan domestik.
Dari segi nominal, ia berkata, KDNK dijangka berkembang sebanyak 6.4 peratus setiap tahun dalam tempoh yang sama.
Katanya, ia menandakan penyederhanaan berbanding purata pertumbuhan KDNK nominal 8.2 peratus dicatatkan ketika 2021 hingga 2024 dan 7.9 peratus dalam tempoh pasca Krisis Kewangan Global dari 2009 hingga 2019.
“Menurut Belanjawan 2025, Kementerian Kewangan (MOF) mengunjurkan KDNK nominal mencecah RM2.08 trilion.
“KDNK nominal adalah penting kerana ia berfungsi sebagai penanda aras utama dalam membentuk rangka kerja dasar fiskal Malaysia di bawah RMK13,” katanya. – BH ONLINE