Pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh negara dicadang menubuhkan koperasi sendiri bagi membolehkan mereka menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan di rumah ibadat yang ditadbir mereka.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini berkata kertas kajian berkaitan cadangan tersebut sudah diluluskan dan akan dibentangkan di peringkat kementerian dalam masa terdekat.
Wan Junaidi berkata, apabila inisiatif itu dapat dilaksanakan sepenuhnya pada masa hadapan, masjid atau surau mungkin tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan yang disalurkan oleh kerajaan selain ia boleh memberikan manfaat kepada jemaah masing-masing.
“Koperasi-koperasi kecil ini boleh dicantumkan menjadi satu koperasi pertengahan, jadi apabila sudah menjadi satu koperasi pertengahan, ia akan menjadi satu koperasi yang cukup besar dengan jumlah ahli yang ramai serta dapat memberi kebaikan dan pulangan kepada jemaah serta penduduk sekitarnya,” katanya.
Justeru, beliau berkata, satu pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan dilakukan dalam masa terdekat, bagi membincangkan usul berkenaan supaya institusi rumah ibadah itu dapat digabungkan dalam sebuah koperasi di peringkat pertengahan.
Katanya, pembangunan koperasi seperti itu penting kerana berupaya menjadi satu daripada kaedah untuk memacu ekonomi, khususnya dalam membantu perusahan kecil dan sederhana dalam komuniti setempat untuk mendapatkan dana dengan cepat dan mudah tanpa perlu melalui kerenah birokrasi yang panjang.
“Menerusi koperasi ini, mereka boleh menubuhkan Ar-Rahnunya (pajak gadai secara Islam) sendiri, pasar borongnya sendiri dan sebagainya dan ini bukan sahaja berupaya memberikan dana kepada masjid atau surau yang mengendalikan koperasi tersebut tetapi juga pendapatan kepada jemaah yang terbabit,” katanya. – BERNAMA