GovernansMalaysiaPilihan Editor

PRIME Memperluaskan Program Jangkauan Komuniti Digital Menerusi NADI Secara Inklusif dan Responsif

Sebanyak tiga unit PRIME dibangunkan dengan setiap satu membabitkan kos sebanyak RM1 juta

Pelancaran Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) berasaskan kenderaan akan memperluaskan jangkauan komuniti digital menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) secara inklusif dan responsif.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata melalui PRIME dan keberadaan NADI di seluruh negara, perkhidmatan internet dan aktiviti kemasyarakatan boleh dibawa terus ke kawasan pedalaman, memperkasa penyampaian maklumat secara inklusif dan responsif.

“Ini langkah strategik membina ekosistem komunikasi menyeluruh, sekali gus menjadi pemangkin transformasi digital masyarakat,” katanya di Majlis Peluncuran PRIME di sini. Yang turut hadir, Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

PRIME mampu menyediakan sambungan internet stabil dengan teknologi ‘bandwidth bonding’, yang menggabungkan jalur lebar satelit dan selular. Menerusi sistem PRIME, ia menyediakan capaian internet sejauh 150 meter radius dengan sokongan WiFi ‘Access Point’, memastikan komunikasi tidak terputus walaupun di kawasan terpencil atau terputus hubungan.

Dalam keadaan liputan komunikasi terganggu, PRIME membolehkan komunikasi kritikal untuk koordinasi penyelamatan, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat bersama agensi berkaitan dapat diteruskan.

Menurut Menteri Komunikasi, unit ini turut dilengkapi sistem radio mudah alih, sekali gus menyokong komunikasi di lokasi yang langsung tiada liputan.

“Ia memberi kelebihan besar kepada pasukan penyelamat dan petugas barisan hadapan dalam melaksanakan misi bantuan secara cekap dan terancang,” katanya.

Paling utama, pelancaran PRIME memperlihatkan kesungguhan kerajaan Madani tampil proaktif memperkukuhkan kesiapsiagaan sektor komunikasi negara yang dibangunkan oleh SKMM sebagai sistem komunikasi bersepadu bergerak yang mampu berfungsi dalam apa jua keadaan, terutama ketika berdepan bencana dan gangguan liputan sedia ada.

Kata Fahmi, sebanyak tiga unit PRIME dibangunkan dengan setiap satu membabitkan kos sebanyak RM1 juta.

“PRIME bukan sekadar kenderaan, ia adalah sistem komunikasi bergerak yang menggabungkan teknologi satelit, selular, radio mudah alih, WiFi dan juga dron, semuanya dalam satu platform.

“Buat masa ini, satu unit dilancarkan untuk kegunaan di Semenanjung manakala dua lagi unit dijangka siap pada suku keempat tahun ini dan akan ditempatkan untuk kegunaan di Sabah dan Sarawak,” kata Fahmi. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close