Pilihan EditorTurun Naik

SIRI 2: Permit Sementara DBKL Untuk Penganggur Warga Kota

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

 

Bernama menyiarkan rencana dua siri mengenai senario perniagaan melibatkan penjaja dan peniaga pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa memberi peluang kepada warga Kuala Lumpur untuk melibatkan diri dalam sektor penjajaan termasuk mereka yang baru kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, mereka perlulah patuh kepada setiap peraturan serta arahan yang dikeluarkan oleh DBKL.

Bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini dan untuk memudahkan penjaja-penjaja baru ini, DBKL memberi ruang untuk mereka memohon Permit Sementara Penjaja Waktu Terhad.

Mereka yang ingin memohon Permit Sementara ini diingatkan mengemukakan permohonan secara individu.

“Jangan memohon melalui persatuan, apatah lagi ‘orang tengah’ dan kartel yang seringkali menipu dalam hal permohonan mendapatkan lesen.

“Sekiranya penjaja masih keliru mengenai hal ehwal permohonan permit itu,  perlulah terus merujuk kepada pihak DBKL secara terus, “ kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi kerisauannya kerana masih ramai yang mudah tertipu dengan “janji-janji manis” pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Setakat 22 Julai, Bernama dimaklumkan DBKL telah meluluskan Permit Sementara Waktu Terhad PKPP kepada 95 orang penjaja.

Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Datuk Bandar Kuala Lumpur. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut Nor Hisham, untuk Permit Sementara ini, pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sementara lantikan pembantu hanya terhad seorang sahaja dan perlulah warganegara Malaysia sahaja.

Tempoh permit ini pula adalah untuk tiga (3) atau enam (6) bulan sahaja dan pemegang permit juga perlu memohon pembaharuan permit 30 hari sebelum tempoh permit tamat. Kelulusan pembaharuan permit pula tertakluk kepada pertimbangan terma dan syarat DBKL.

Selepas tempoh PKPP, Borang Permohonan Permit Sementara Penjaja Waktu terhad boleh didapati di Kaunter Lesen Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP) dan Kaunter Pejabat Cawangan Sistem e-Lesen.

 

PERMOHONAN DIPERMUDAHKAN

Untuk memudahkan orang ramai memohon Permit Sementara ini, DBKL juga menambah baik syarat-syarat sedia ada, antaranya proses kelulusan mendapatkan permit ini boleh diperolehi dalam tiga tempoh hari bekerja.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, penjaja perlu terus memohon lesen niaga DBKL dengan caj serendah RM20,  serta menasihati mereka supaya mematuhi peraturan ditetapkan DBKL.

Annuar turut dilaporkan berkata penjaja tidak perlu lagi menjadi mangsa kartel dan “orang tengah” yang sering memaksa mereka membayar caj sehingga mencecah ribuan ringgit sebagai “‘lesen” kebenaran berniaga di tepi jalan.

“Melalui DBKL, lesen-lesen ini tidak perlu bayar banyak. Sebulan RM20 sahaja. Token macam pendaftaran lesen sahaja. Saya harap penjaja dapat bekerjasama dan timbal balas apa yang kita permudahkan supaya jangan disalahgunakan,” beliau dipetik sebagai berkata baru-baru ini.

Borang permohonan boleh didapati di pejabat cawangan DBKL; menerusi Kaunter Lesen JPPP; ataupun di laman web https://elesen.dbkl.gov.my.

Kadar bayaran permit RM20 sudah tentunya amat berpatutan terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Hanya bayaran RM20 sebulan bagi penjaja sementara statik gerai tepi jalan, atau RM62 sebulan bagi penjaja sementara beredar (bonet kereta), dan mereka juga perlu mendapatkan pelekat penjajaan berharga RM3 yang perlu diletak di atas alas meja dan mudah dilihat.

 

WAKTU PENJAJAAN TERHAD

Nor Hisham berkata bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan oleh DBKL terutama ketika tempoh PKPP ini, pihaknya menetapkan had serta batas waktu untuk penjaja.

“Waktu penjajaan ini terhad untuk pagi (7:00 pagi sehingga 10:00 pagi), tengah hari (11:00 pagi sehingga 2:00 petang), petang (4:00 petang sehingga 7:00 petang), serta malam (7:00 malam sehingga 12:00 malam),” jelasnya, sambil menambah permohonan permit hanya terhad pada satu lokasi sahaja bagi satu tempoh penjajaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, penjaja juga boleh memohon maksimum tiga lokasi pada waktu penjajaan yang berbeza, namun tidak boleh berturutan waktu perniagaan di satu lokasi yang sama.

DBKL juga, kata Nor Hisham menetapkan larangan bagi aktiviti dan lokasi penjajaan iaitu di sekitar bangunan utama kerajaan, istana, parlimen, rumah pembesar negara serta tempat tumpuan pelancong.

“Juga, antara lokasi yang dilarang ialah di jalan protokol dan jalan-jalan utama, di tempat letak kereta awam, taman awam, dalam lingkungan 3.6 meter daripada pili bomba, serta menghalang kelancaran arus lalulintas kenderaan dan pergerakan bebas pejalan kaki.

“Peniaga kecil dan penjaja yang melanggar syarat-syarat permit ini boleh dikenakan tindakan kompaun dan pembatalan permit, ” katanya.

 

PERLU JAGA KEBERSIHAN PREMIS

Menjawab pertanyaan penulis mengenai isu kebersihan kawasan tumpuan penjaja serta peralatan masakan serta hidangan, Nor Hisham merujuk kepada beberapa peraturan dan arahan yang perlu dipatuhi oleh para penjaja terutama melibatkan isu kebersihan premis.

“Dengan jumlah penjaja berdaftar dengan kita sekitar 30 ribu orang, kita jangka jumlah ini akan meningkat terutama ketika tempoh PKPP ini.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebajikan mereka namun mereka juga perlulah patuh pada setiap peraturan kita tetapkan.

“Mereka perlulah memastikan kebersihan di sekitar kawasan tempat letak kerusi dan meja semasa berniaga dan selepas tamat waktu berniaga, perlu menyediakan tong sampah yang bertutup secukupnya di sekitar lokasi penjajaan, serta memastikan tiada sampah penjajaan ditinggalkan selepas tamat masa penjajaan,” katanya.

Antara peraturan lain yang perlu dipatuhi ialah penjaja perlu mengambil suntikan Typhoid dan perlu memperbaharui suntikan tersebut setiap tiga tahun sekali.

Barangan logistik penjajaan tidak dibenarkan ditinggalkan di lokasi penjajaan, serta tidak dibenarkan meletakkan kerusi meja untuk tempat makan pelanggan.

“Peniaga kecil dan penjaja yang berniaga tanpa lesen atau permit boleh dikenakan tindakan sitaan, manakala mereka yang melanggar syarat-syarat lesen atau permit boleh dikenakan tindakan kompaun dan pembatalan lesen atau permit,” tegasnya.

 

JANGAN SAMPAI PELANGGAN HILANG SELERA

Isu kebersihan kawasan tempat tumpuan penjaja ini sememangnya perlu diberi perhatian bukan sahaja pihak berkuasa tetapi juga penjaja itu sendiri.

Tinjauan penulis sebelum ini ke beberapa lokasi mendapati tahap kebersihan sememangnya perlu dipantau supaya kawasan persekitaran bebas bau busuk daripada sampah serta sisa jualan.

Zaidi Zainal, peniaga ikan bakar berempah di Jalan Cochrane, Cheras. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun, tidak semua penjaja yang mengabaikan soal kekebersihan seperti peniaga ikan bakar berempah di Jalan Cochrane, Cheras, Zaidi Zainal.

Beliau turut berkongsi pandangannya bahawa sebagai peniaga yang menjual makanan dan minuman, prioriti utama adalah sentiasa memastikan tahap kebersihan pada tahap cemerlang sehingga membuatkan pelanggan yang berkunjung ke premis dapat menikmati juadah dengan selesa.

“Paling penting, meja dan kerusi perlu sentiasa dikemas dan bersih, pinggan dan cawan pula perlu sentiasa dicuci selepas diguna pelanggan.

“Kain lap yang kita guna untuk mengelap meja janganlah diguna sampai sudah hitam akibat kesan minyak, nanti pelanggan pun rasa tak lalu nak makan dan tekak rasa ‘seriau’ kalau mereka tengok kain itu yang diguna,” katanya sambil berseloroh.

Dalam pada itu, beliau turut berkata musuh kepada seorang pengusaha makanan sudah tentunya haiwan perosak, sebagai contoh lalat, nyamuk, lipas dan tikus.

“Tanyalah kepada pelanggan, mereka pastinya boleh hilang selera makan sekiranya ada kelibat haiwan perosak sebegini di premis yang mereka singgah.

“Macam saya, sebelum memulakan perniagaan, saya akan kemas dahulu kawasan sekeliling dan pastikan tiada sampah yang kelihatan. Begitu juga selepas selesai berniaga, saya akan melakukan perkara yang sama,” katanya. – BERNAMA

 

  • Untuk bahagian akhir, wartawan Bernama,  Muhammad Basir Roslan menemu bual Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengenai Permit Sementara Penjaja Waktu Terhad untuk warga kota yang menganggur termasuk yang kehilangan pekerjaan sepanjang PKP.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close