FELDA perlu menumpukan usaha meningkatkan hasil pengeluaran kelapa sawit daripada 800,000 hektar ladang miliknya, berbanding menceburi bidang perniagaan lain yang bukan kepakaran mereka.
“FELDA tak boleh keluar daripada aktiviti yang tidak ada kena mengena dengan kelapa sawit. Kita kena fokus dan tak boleh FELDA ini terlibat dalam macam-macam benda. Mahu buat gula, nak buat hotel, bukan tak boleh, tapi bila sudah ada lebihan tunai..ok.
“Tapi kalau FELDA masih ada hutang, tapi kita tak tumpukan perniagaan utamanya, kita akan berdepan masalah terutama apabila hutang-hutang ini perlu dibayar. Akhirnya apa jadi, FELDA terpaksa jual balik hotel, terpaksa dan tengah cari siapa yang mahu beli kilang gula.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium FELDA 2024 Sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Menara FELDA di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, FELDA perlu meneroka bidang teknologi baru dalam pengurusan ladang mereka.
“Bila ada banyak teknologi, kita dapat keluarkan hasil lebih bagus. Bermula dari cara penanaman, penjagaan dalam tiga tahun. Pemantauan dron, dari warna daun pun, kita boleh nampak apa nutrien yang kurang.
“Akhirnya kita kena lihat perladangan sebagai satu konsep perniagaan. Apatah lagi sekarang dunia berdepan dengan masalah sekuriti makanan. Tidak ada orang boleh bandingkan kekuatan dan kebolehan FELDA ini.
“Dulu FELDA tidak ada kepakaran, tapi sekarang generasi FELDA kedua dan ketiga ramai berkebolehan. Ramai mereka ini mengurus estet. Kalau mereka boleh urus ladang estet swasta kenapa tidak FELDA. Kita kena bagi ruang ini kepada mereka untuk meraih pendapatan, baru mereka suka,” katanya.
Beliau juga mahu FELDA mencapai pengeluaran melebihi 18 tan per hektar, setanding dengan syarikat gergasi swasta lain, yang puratanya sudah melebihi 20 tan per hektar.
“Kita tak sampai lagi 18 tan per hektar. Kalau kita dapat 18 per hektar, dia boleh menghasilkan hampir 14.4 juta tandan kelapa sawit. Kalau kita alih dalam bentuk import minyak sawit mentah (CPO), kita boleh menjadi pengeluar CPO terbesardengan 2.8 juta metrik tan.
“Bayangkan kalau 2.8 juta metrik tan, kalau harga sawit sekarang RM4,000 satu tan, kalau kos purata harga sawit kita RM3,000 satu tan, kita sudah ada RM1,000 satu tan.
“Maknanya, kita sudah boleh ada untung RM2.8 bilion. Cuba bayangkan kalau harga RM5,000 satu tan atau RM6,000 satu tan yang biasa kita lihat sebelum ini,” katanya.