GovernansMalaysiaPilihan Editor

BELANJAWAN2026: Perancangan RMK13 Tunjang Utama Pembentangan Belanjawan 2026 Minggu Depan

Perancangan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal menjadi tunjang utama pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan Jumaat minggu depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah belanjawan yang pertama di bawah RMK13.

Menurutnya, Belanjawan 2026 akan dirangka berasaskan hala tuju RMK13 serta Kerangka Ekonomi MADANI yang menjadi dasar pembangunan negara ketika ini.

“RMK13 memberi hala tuju yang jelas kepada rakyat untuk melihat di mana keutamaan negara diletakkan. Antara tumpuan adalah pembaharuan bagi menambah baik sektor perumahan, pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail.

Beliau berkata, rancangan lima tahun itu berteraskan Kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan siling dengan meningkatkan kerencaman ekonomi negara serta meningkatkan lantai agar darjat rakyat dapat ditingkatkan dan semua dapat merasa kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Menurutnya, kerajaan juga komited untuk meningkatkan tatakelola kerajaan dalam semua urusan untuk penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Tambahnya, kerajaan juga yakin dengan pendekatan menyeluruh akan membantu menggerakkan negara ke arah lebih baik, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang.

“RMK13 menjadi bukti komitmen keseluruhan negara untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI dengan memastikan peningkatan darjat hidup rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.

MEKA 2025 diadakan selama dua hari menghimpunkan lebih 700 peserta yang terdiri daripada penjawat awam di semua peringkat sama ada kementerian, negeri dan pihak berkuasa tempatan, wakil akademik dan sektor swasta.

Persidangan itu menampilkan lebih 15 orang tokoh pembuat dasar daripada kerajaan, wakil universiti, industri dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam lima forum untuk mengupas dengan lebih mendalam mengenai kandungan utama di dalam RMK13 iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, negara berteraskan kecerdasan buatan (AI), memperkukuh tata kelola baik, meningkatkan mobiliti sosial dan kesejahteraan rakyat.

RMK13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Julai lalu di Dewan Rakyat menetapkan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan peruntukan RM611 bilion.

Ia meneruskan usaha menyusun semula struktur ekonomi dan mengangkat martabat rakyat melalui pertumbuhan yang lebih saksama, berdaya saing dan inklusif.

Antara kandungan utama ialah pelaburan besar serta reformasi dalam pendidikan dan kesihatan, pembangunan wilayah yang seimbang, penyediaan sejuta rumah mampu milik, perluasan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pendigitalan perkhidmatan awam serta penciptaan lebih sejuta pekerjaan bernilai tinggi. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close