Kadar hutang isi rumah di negara ini, secara agregatnya berjumlah RM1.53 trilion pada akhir 2023, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Kewangan berkata, secara agregatnya kadar itu menunjukkan trend peningkatan saban tahun sejak 2018.
Bagi tempoh 2018 hingga 2023, beliau berkata, bahawa purata pertumbuhan tahunan hutang isi rumah adalah 5.1 peratus.
Jelasnya, pertumbuhan hutang isi rumah tahunan ini didorong terutama pinjaman perumahan dan kenderaan susulan daripada pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh kerajaan serta swasta.
“Pada akhir 2023, secara agregat, hutang isi rumah berjumlah RM1.53 trilion.
“Ia termasuk pinjaman untuk tujuan-tujuan yang lain termasuk pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan lain-lain.
“Secara agregatnya, jumlah hutang isi rumah bagi tahun sebelumnya adalah seperti berikut: 2022 (RM1.45 trilion), 2021 (RM1.38 trilion), 2020 (RM1.32 trilion), 2019 (RM1.25 trilion) dan 2018 (RM1.19 trilion).
“Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2023 pula meningkat sedikit kepada 84.2 peratus berbanding tahun 2018 (82 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan hutang isi rumah agregat negara bagi 2018 hingga 2023.