Pilihan EditorTwo Cents

Kenaikan OPR Elak Risiko Ekonomi Negara Meleset – Penganalisis

Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) daripada 2.75 peratus kepada 3 peratus masih menjadi polemik hingga kini, apatah lagi kebanyakan penganalisis ekonomi menjangkakannya akan dikekalkan dengan segelintir sahaja mengunjurkan kenaikan terbabit.

Ramai warganet dilihat mengecam tindakan itu kerana dikaitkan dengan kos sara hidup sedang meningkat. Ada juga menyatakan ia tidak seiring strategi pembangunan ekonomi kerajaan dan pelbagai lagi pendapat dilontarkan yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan dasar dilaksanakan BNM itu.

Berdasarkan komen terpapar di media sosial, boleh dikatakan wujudnya salah faham mengenai OPR. Pertama, OPR tidak bersifat kekal, sebaliknya berubah-ubah mengikut trend pertumbuhan ekonomi negara dan global.

Contohnya, OPR ini bergerak dalam jajaran antara 3 peratus dan 3.25 peratus pada 2011 hingga 2019 yang dalam tempoh itu, pertumbuhan ekonomi negara berada pada paras antara 4 hingga 6 peratus dengan kadar pengangguran berlegar sekitar 2.6 peratus hingga 3.6 peratus.

Malaysia sebagai negara terbuka dari segi perdagangan dan pelaburan terkesan akibat krisis berkenaan itu. Sebagai langkah menangani situasi berkenaan, BNM menurunkan OPR daripada 3.5 peratus pada Oktober 2008 kepada 2 peratus pada Mac 2009, iaitu pengurangan 150 mata asas.

Sama juga halnya apabila negara berhadapan krisis kesihatan, iaitu pandemik COVID-19 pada 2020 hingga 2021. BNM menurunkan OPR daripada 3 peratus pada Disember 2019 hingga 1.75 peratus pada Julai 2020, iaitu pengurangan sebanyak 125 mata asas.

Dalam hal ini juga, BNM tidak ‘sendirian’ dalam usaha memulihkan ekonomi negara. Dasar fiskal membabitkan percukaian dan perbelanjaan kerajaan juga digembleng melalui pakej rangsangan bernilai lebih RM500 bilion.

Justeru, perubahan OPR adalah mengikut kitaran ekonomi. Kebiasaannya, apabila trend ekonomi menuju ke arah kemelesetan atau terdapat risiko kelembapan, OPR akan dikurangkan. Apabila situasi ekonomi terbabit pulih, maka ia akan dinaikkan bagi mengembalikan OPR kepada kedudukan asal sebelum berlaku kekacauan ekonomi berkenaan.

Ini yang sedang berlaku di Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi tinggi pada tahun lalu, iaitu 8.7 peratus. Sudah pasti ‘ubat’ diberikan ketika mengharungi suasana COVID-19 lalu perlu dikurangkan.

Jika tidak, ia boleh memberi kesan kemudaratan seperti kadar hutang lebih tinggi disebabkan kos pembiayaan murah yang tidak sejajar dengan pertumbuhan ekonomi pesat. Ini boleh merencatkan proses pemulihan ekonomi jika OPR tidak dikembalikan kepada kedudukan asal sebelum berlakunya COVID-19.

Selain itu, kenaikan OPR juga bererti ruang dasar lebih luas kepada BNM yang boleh digunakan pada waktu getir. Ini bermakna BNM mempunyai keupayaan berhadapan sebarang kemungkinan seperti risiko pertumbuhan ekonomi lembap pada masa akan datang.

Prospek pertumbuhan ekonomi global

Dalam konteks semasa, prospek pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih perlahan pada tahun ini apabila pihak Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global bakal perlahan ke paras 2.8 peratus pada tahun ini berbanding 3.4 peratus dicatatkan pada 2022.

Oleh itu, tindakan BNM untuk bersiap siaga ini seharusnya dipuji dan bersifat bertanggungjawab kerana ia memungkinkan mereka mengurangkan OPR sekiranya terdapat keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Sudah pasti kita tidak mahu BNM menjadi seperti Rizab Persekutuan (Fed) AS atau bank pusat di Eropah yang melaksanakan dasar kadar faedah hampir sifar. Apabila ekonomi mula bertumbuh pesat, perubahan kadar faedah berlalu dengan drastik hingga merisikokan ekonomi untuk kembali meleset.

Selain itu, ia menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur dan ahli perniagaan kerana sukar mereka untuk membuat keputusan disebabkan perubahan kadar faedah besar dan memberi impak signifikan terhadap kos dana mereka.

Mungkin ada yang akan mengeluh OPR ini membebankan kerana perlu membayar bayaran ansuran bulanan hutang diambil dengan bank. Sekiranya ini masalahnya, maka mereka boleh berjumpa dengan pihak bank untuk berbincang apakah mekanisme bersesuaian seperti membuat pembiayaan semula dengan menggunakan kadar tetap.

Namun harus diingat, sekiranya kontrak pembiayaan itu berkadar tetap, pembayaran bulanan mereka akan kekal sama meskipun OPR berkenaan sudah dikurangkan dan mereka ini tidak dapat menikmati penjimatan dari segi bayaran bulanan mereka.

Sekiranya inilah permasalahan dihadapi, ternyata ia berkaitan perihal literasi kewangan, bukanlah perubahan OPR itu sendiri. Justeru, meletakkan salah kepada perubahan OPR ke atas masalah seperti kenaikan kos sara hidup dan sebagainya adalah sesuatu yang pincang dan tidak berasas.

Oleh itu, hal ini perlu diterangkan dengan sejelas-jelasnya supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Berhad

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close