Dimensi Bisnes

Lesen Bank Digital Diberi Suku Pertama 2022

Pemberitahuan mengenai pemberian lesen perniagaan perbankan digital akan dibuat pada suku pertama 2022.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya berkata, permohonan untuk menjalankan perniagaan perbankan digital atau perniagaan perbankan digital Islam perlu dikemukakan sebelum 30 Jun 2021.

“Sehingga lima lesen akan dipertimbangkan untuk pemohon yang layak,” katanya dalam satu kenyataan.

Bank pusat hari ini mengeluarkan dokumen dasar rangka kerja perlesenan bank digital atau dokumen dasar, selepas berakhirnya tempoh maklum balas awam selama enam bulan.

BNM berkata, rangka kerja pelesenan bank digital bertujuan membolehkan penggunaan teknologi inovatif bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu, perniagaan serta menyokong pertumbuhan lestari.

“Ia juga termasuk mengembangkan akses secara bermakna dan menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai secara bertanggungjawab kepada segmen yang tercicir atau kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan,” katanya.

Bank pusat berkata, rangka kerja itu mengambil pendekatan seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital yang mempunyai nilai tawaran kukuh.

Pada masa sama, katanya, ia juga bertujuan memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan serta kepentingan pendeposit.

“Bagi mencapai matlamat itu, rangka kerja pengawalseliaan dipermudah akan diguna pakai ke atas bank digital pada peringkat awal operasi,” katanya.

BNM menjelaskan, ia bersesuaian dengan nilai ambang penetapan had aset yang tidak boleh melebihi RM3 bilion untuk tempoh tiga hingga lima tahun operasi.

“Tempoh ini berfungsi sebagai fasa asas bagi pemegang lesen untuk menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi.

“BNM juga boleh memantau prestasi bank digital berlesen dan sebarang risiko yang timbul daripada operasi masing-masing,” katanya.

Bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), termasuk piawaian mengenai kehematan, syariah, amalan perniagaan dan perlindungan pengguna, serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Dalam fasa asas, bank digital berlesen akan tertakluk pada keperluan pengawalseliaan yang dipermudah berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan, tadbir urus syariah serta keperluan penzahiran awam. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close