Oleh Samirul Ariff Othman
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengekalkan kadar dividen melebihi 6.0 peratus bagi tahun ini dan seterusnya, bergantung kepada kestabilan pasaran global serta keputusan pelaburan yang strategik.
KWSP berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding tahun-tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan aset yang mantap, sumbangan yang stabil dan ekonomi domestik yang berdaya tahan. Namun, cabaran tetap wujud, terutama ketidaktentuan global, risiko inflasi dan ketidakstabilan pasaran kewangan yang boleh memberi kesan kepada prestasi pelaburan dana pencen itu.
Sekiranya keadaan ekonomi kekal menggalakkan, KWSP berpotensi untuk mengekalkan dividen lebih 6.0 peratus. Namun, kesinambungan prestasi ini dalam jangka panjang masih bergantung kepada persekitaran ekonomi global serta keputusan pelaburan yang bijak.
Antara cabaran utama yang dihadapi termasuk ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik. Polisi kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), kemungkinan kelembapan ekonomi di China serta konflik geopolitik di Timur Tengah, Ukraine dan hubungan AS-China boleh memberi kesan langsung kepada pasaran global. Jika keadaan luar negara melemah, pelaburan KWSP di luar negara berisiko mengalami turun naik yang lebih ketara.
Meskipun KWSP mendapat manfaat daripada prestasi pasaran yang kukuh pada 2024, sebarang pembetulan pasaran saham pada 2025 boleh memberi impak terhadap pulangan yang dijana. Malah, perubahan dasar kerajaan seperti semakan semula skim pengeluaran atau peraturan pelaburan juga boleh mempengaruhi kemampanan jangka panjang dana pencen itu.
Peningkatan ketara dalam pendapatan pelaburan turut memperkukuh prestasi KWSP, dengan jumlah pendapatan pelaburan direkodkan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus berbanding RM66.99 bilion pada tahun sebelumnya. Ini mencerminkan keberkesanan pengurusan aset serta pulangan lebih tinggi daripada pelaburan dalam pasaran modal dan aset lain.
Selain itu, ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 5.1 peratus pada 2024, berbanding 3.6 peratus pada 2023, turut memberi kesan positif kepada pasaran buruh, pelaburan domestik dan daya saing eksport. Dalam masa yang sama, strategi alokasi aset strategik (SAA) yang dilaksanakan KWSP membolehkan pengurusan risiko dan pulangan dilakukan dengan berkesan, mengekalkan kestabilan portfolio walaupun pasaran global terus berdepan ketidaktentuan.
Prestasi cemerlang KWSP turut disokong oleh peningkatan jumlah caruman, dengan catatan caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion, meningkat 11 peratus berbanding RM97.56 bilion pada 2023. Peningkatan ini menunjukkan aliran tunai masuk yang lebih tinggi, membolehkan KWSP melaksanakan pelaburan lebih meluas serta berpotensi memberikan pulangan lebih tinggi kepada pencarum. – BH ONLINE
- Penulis ialah Perunding Kanan Global Asia Consulting.