Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 disifatkan ‘game changer’ (pengubah keadaan) untuk media di negara ini beralih daripada campur tangan atau pergantungan kepada kerajaan kepada kawalan dalam kalangan pengamalnya sendiri.
Seorang Ahli Parlimen blok kerajaan, Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata melalui RUU terbabit sebarang rungutan, aduan, ketidakpuasan hati dan sebarang perkara yang memerlukan resolusi berkaitan pelaporan media akan diuruskan dan diselesaikan melalui Majlis Media Malaysia.
“Ini juga sesuatu yang jarang kita lihat, dan syabas buat kementerian (Kementerian Komunikasi) kerana mengambil jalan ini.
“Daripada kawalan kerajaan, kita mula berpindah kepada kawalan oleh media sendiri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Syahredzan berkata RUU terbabit turut memberi kuasa kepada Majlis Media Malaysia untuk menetapkan standard dan tatalaku untuk dipatuhi oleh pengamal media.
Beliau yang juga seorang peguam turut berkongsi pengalaman membawa satu kes membabitkan wartawan yang mencabar sepina dikeluarkan terhadapnya untuk memberi keterangan yang akan mendedahkan sumbernya.
“Kami pada masa itu bergantung kepada kod etika yang dikeluarkan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) berkenaan tanggungjawab melindungi kerahsiaan sumber.
“Tetapi kod etika NUJ itu tidak ada kuatkuasa undang-undang, disebabkan NUJ sendiri tiada punca kuasa untuk mengikat. Melalui RUU ini, Majlis Media Malaysia akan diberi punca kuasa.
“Maka (dengan itu) standard dan tatalaku yang ditetapkan ini akan diiktiraf oleh Mahkamah,” katanya yang turut memberitahu melalui RUU terbabit, rakyat diberi ruang untuk membawa aduan mengenai media tanpa melalui sistem siasatan jenayah atau mengeluarkan duit untuk tindakan saman.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dalam perbahasannya berharap beberapa perkara berkaitan kebebasan media diperhalusi bagi memastikan budaya demokrasi terus subur.
“Saya dan rakan pembangkang menyokong RUU ini. Cuma kami lihat ada beberapa perkara untuk diperhalusi bagi mempertahankan kebebasan media.
“Benar seperti disebut Bangi (Syahredzan) mengenai peranan media Media yang digelar sebagai ‘Fourth Estate’ (Estet Keempat) tetapi media juga boleh digunakan sama ada oleh kerajaan atau mana-mana pihak dari luar dan dalam untuk jatuhkan sesebuah kerajaan.
“Kalau tidak dalam Dewan ini, susah untuk suara kami diambil oleh media di luar sana sebab mereka takut menteri tarik balik bajet media,” katanya.
Wan Ahmad Fayshal turut menggesa pelaksanaan yang telus bagi RUU ini, supaya media Malaysia benar-benar bebas.
Ini termasuk memastikan unsur ‘ugutan’ terhadap media dalam mengeluarkan laporan.
Seorang lagi Ahli Parlimen blok pembangkang, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang turut menyertai perbahasan RUU terbabit menggesa kerajaan untuk mengembalikan Kad Perakuan Media wartawan Harakah Daily yang didakwa ditarik balik oleh Jabatan Penerangan.
“Saya minta pas media wartawan Harakah Daily dikembalikan. Sudah hampir dua tahun dirampas daripada piahk kami. Saya sudah buat rayuan, kalau boleh kembalikan kepada pihak kami.
“Ini langkah yang lebih baik daripada pihak kerajaan untuk meraikan demokrasi dan kebebasan media,” katanya. – BH ONLINE




