Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menziarahi sambil menyampaikan sumbangan kepada waris pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, di Kampung Pandan Dalam di sini, kelmarin.

Khairil Anwar, 20, adalah seorang daripada tiga pelajar UiTM Dungun yang maut dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh di luar pintu masuk kampus universiti itu oleh seorang wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 9 Oktober lalu.
Beliau yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan adalah peminjam PTPTN dan pada Program Ziarah PTPTN Prihatin kelmarin, agensi itu menyerahkan surat pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman bagi pengajian peringkat ijazah yang diterima Allahyarham berjumlah RM7,092.51.
Keluarga mangsa turut menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
Norliza berkata, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara, komited dalam melaksanakan program CSR dan menjaga kebajikan peminjamnya.
Katanya, dengan keprihatinan PTPTN itu, ia diharap dapat membantu meringankan beban ditanggung waris peminjam PTPTN.

“Ketabahan keluarga Allahyarham menghadapi tragedi ini sesuatu yang sangat menginspirasikan.
“Kami di PTPTN ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham dan semoga sumbangan ini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris Allahyarham dalam waktu sukar ini.
“Setiap sumbangan diberikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan lebih baik bagi keluarga terbabit,” katanya ditemui pada ziarah itu.
Turut serta dalam ziarah itu ialah Pengurus Besar Kanan PTPTN, Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Pejabat PTPTN Selangor, Rohaida Deris.
Norliza berkata, Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok bertujuan melindungi jumlah pinjaman dikeluarkan PTPTN kepada peminjam berkuat kuasa sepanjang masa, tidak kira lokasi sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.
“Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun pinjaman yang dikeluarkan kepada semua peminjam akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful yang dilantik PTPTN,” katanya.
Beliau berkata, bagi mana-mana peminjam yang meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.
Sementara itu, bapa Allahyarham Khairil Anwar, Jamaludin Hussin, 53, berkata beliau bersyukur dengan keprihatinan PTPTN menziarahi mereka sekeluarga.
Katanya, dia dan isteri, Norma Mohamed Nor, 52, turut terharu dengan sumbangan dan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman arwah anaknya.
“Saya akur jika kami perlu membayar hutang pinjaman pelajarannya kerana hutang wajib dibayar, namun tidak sangka Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN mempunyai perlindungan takaful,” katanya.
Katanya, dia bersyukur dengan adanya PTPTN di Malaysia, ramai anak-anak mampu menyambung pengajian demi mengejar cita-cita masing-masing. – BH ONLINE




