MalaysiaPilihan Editor

Kerajaan Dijangka Umum Butiran Rasionalisasi Subsidi RON95 Hujung Bulan Ini

Kerajaan dijangka akan mengumumkan butiran terperinci mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 menjelang akhir bulan ini, menurut TA Securities.

Syarikat laporan ‘Trader’s Compass’ oleh TA Securities, langkah yang lama dinantikan itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi fiskal kerajaan yang lebih meluas.

Katanya, pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95, yang kini dijual pada harga RM2.05 seliter, telah ditangguhkan sebelum ini disebabkan oleh tekanan politik.

“Pasaran dan rakyat kini menantikan perincian mengenai mekanisme, fasa pelaksanaan, dan bentuk bantuan bersasar yang akan diperkenalkan bagi mengurangkan kesan ke atas kumpulan berpendapatan rendah.

TA Securities berkata, selain itu, bagi meringankan beban kos sara hidup, kerajaan telah pun memperkenalkan bantuan tunai RM100 secara sekali bayar kepada isi rumah yang layak, bermula dari 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

Katanya, sambutan terhadap bantuan itu juga amat menggalakkan, di mana kira-kira 850,000 rakyat Malaysia membelanjakan lebih RM50 juta pada hari pertama sahaja, menyebabkan kelembapan sementara pada rangkaian MyKasih.

“Kejadian itu menekankan keperluan untuk memastikan kesediaan infrastruktur dan sistem yang kukuh bagi mengelakkan gangguan, terutamanya menjelang pelaksanaan program rasionalisasi subsidi bahan api yang lebih besar,” katanya.

Selain itu, laporan TA Securities juga menyatakan pertumbuhan stabil ekonomi negara pada 4.4 peratus untuk suku kedua 2025, didorong oleh permintaan domestik yang teguh dan kebangkitan semula sektor pelancongan yang kini telah melepasi tahap pra-pandemik.

Namun katanya, momentum positif itu berdepan cabaran luar yang signifikan berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif baharu sebanyak 19 peratus ke atas eksport Malaysia bermula Ogos.

Bagaimanapun, asas ekonomi negara katanya kekal berdaya tahan dengan sektor perkhidmatan terus menjadi tunjang utama, disokong oleh aliran masuk pelancong yang kukuh, di mana jumlah ketibaan melonjak 17.9 pertus kepada 20.6 juta orang pada separuh pertama 2025.

Pada masa yang sama, prestasi perdagangan negara kembali mengukuh pada Julai, dengan lebihan dagangan meningkat sebanyak 120.7 peratus tahun ke tahun kepada RM14.98 bilion.

Walau bagaimanapun, nota penyelidikan itu turut menekankan kebimbangan terhadap persekitaran global yang tidak menentu.

“Risiko utama datang daripada kenaikan tarif 19 peratus oleh AS, yang berpotensi menjejaskan prestasi sektor luaran Malaysia.

“Malah Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga ada menyatakan langkah AS tersebut boleh mengurangkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2025 antara 0.6 hingga 1.2 mata peratusan.

“Meskipun begitu, Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa kerajaan telah merangka langkah-langkah yang berkesan untuk menangani impak negatif tersebut tanpa membebankan kebajikan rakyat.

“Secara keseluruhannya, prospek ekonomi Malaysia dilihat seimbang, kekal waspada terhadap cabaran global sambil berpegang teguh pada kekuatan domestik negara,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close