Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dikenang sebagai pemimpin berwawasan yang memperkenalkan pendekatan pembangunan inklusif bagi memperkasa wilayah serta menjana peluang pekerjaan di bandar dan luar bandar menerusi penubuhan beberapa koridor ekonomi strategik di seluruh negara.
Bermula dengan pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, projek untuk semua rakyat itu turut digerakkan ke utara, timur, Sabah dan Sarawak dengan dikenali Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER); Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Pelancaran WPI membabitkan kawasan seluas 2,217 kilometer persegi di selatan Johor dengan jangkaan mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 20 tahun, sementara pelancaran NCER membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM177 bilion sehingga 2025.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang pembangunan modal insan, sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Inisiatif ini menjadi pemangkin utama dalam menarik pelaburan, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta memperkukuh infrastruktur, pertanian moden dan pembangunan modal insan di NCER merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“NCER menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga atas jasa dan sumbangan Allahyarham dalam membentuk dasar pembangunan yang inklusif dan mampan,” katanya.
Usaha murni Perdana Menteri kelima itu memberi sinar baharu kepada rakyat dalam usaha membasmi kemiskinan memandangkan banyak projek dirancang secara menyeluruh tanpa meminggirkan satu negeri pun di Malaysia.
Malah, kesinambungan projek berkenaan yang lebih memberikan fokus kepada industri memaksimumkan penggunaan tanah diteruskan pemimpin selepasnya. – BH ONLINE