Malaysia

PRK Chini: BN Pahang Minta Menang Tanpa Bertanding

Semua parti politik dan calon bebas diminta beri laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ini bermakna, PRK DUN Chini khususnya sepanjang tempoh berkempen 14 hari bermula hari penamaan calon pada 20 Jun ini hingga hari pengundian pada 4 Julai depan, tidak perlu diadakan.

Sehubungan itu, katanya, ia dapat mengelakkan pergerakan dan aktiviti menjelang serta semasa PRK itu yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia sekarang.

“Saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan pandemik ini.

“Dr Mahathir mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK Chini kerana kedua-duanya turut membabitkan pergerakan orang ramai yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan pandemik ini.

“Saranan ini juga selari dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mengumumkan parti itu tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK Chini atas alasan serupa.

“Dengan tidak mengadakan PRK Chini ini juga boleh menjimatkan kos bakal ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira RM4.3 juta, malah oleh calon serta parti yang bertanding,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan keputusan PRU lalu, BN yang menjalin kerjasama erat dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) mendapat sokongan pengundi.

Katanya, PAS sendiri meminta kerusi DUN Chini tidak dipertandingkan dan akan memberi peluang kepada calon BN/UMNO untuk menang lebih besar lagi.

“Apa saya katakan ini tidaklah bermakna BN/UMNO bersikap riak atau takabur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa.

“Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan supaya tidak bertanding.

“Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan COVID-19 menggerunkan,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close